Jumaat, 31 Mei 2024 | 7:57pm
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, di sidang media Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024 selepas membuat gimik pelancaran alat "bowling lane oil machine" untuk kegunaan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Megalane Sarawak, Jalan Batu Kawa, hari ini. Foto: BERNAMA

Tawaran Sarawak untuk jadi venue Sukan SEA 2027 terima maklum balas positif

KUCHING: Kerajaan Persekutuan memberikan maklum balas positif terhadap tawaran Sarawak untuk menganjurkan beberapa acara Sukan SEA 2027, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, perkara itu hasil beberapa mesyuarat yang diadakan setakat ini dengan Kerajaan Persekutuan.

"(Maklum balas Kerajaan Persekutuan) sangat positif dan saya yakin kita akan memainkan peranan penting dalam penganjuran Sukan SEA 2027, tetapi kita serahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) untuk umumkan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemudahan di Megalanes Sarawak yang dinaik taraf dan akan menjadi venue acara boling Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Menurutnya, minat yang tinggi terhadap sukan dalam kalangan rakyat Sarawak juga mampu menjadi faktor bagi membolehkan negeri itu dipilih menjadi tuan rumah beberapa acara Sukan SEA.

Terdahulu, Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh untuk melihat impak kewangan terhadap negara berhubung penganjuran Sukan SEA 2027.

Hannah berkata, sesi libat urus itu juga bertujuan melihat sama ada terdapat minat dari negeri lain untuk menjadi tuan rumah bersama Putrajaya. - BERNAMA

Berita Harian X