Jumaat, 31 Mei 2024 | 6:01pm
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (tengah) menerima buku laporan awalan Akaun Satelit Sukan 2022 daripada Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kanan) pada Pelancaran Akaun Satelit Sukan (SSA) di Menara Kementerian Belia dan Sukan hari ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (tengah) menerima buku laporan awalan Akaun Satelit Sukan 2022 daripada Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kanan) pada Pelancaran Akaun Satelit Sukan (SSA) di Menara Kementerian Belia dan Sukan hari ini.

KBS beri dana buat Zii Jia, Jin Wei, Khairulnizam

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Road to Gold (RTG) akan menyalurkan bantuan kewangan kepada atlet yang sudah mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 tetapi tidak berada dalam program RTG dan Podium.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga merangkap pengerusi bersama Jawatankuasa RTG, berkata butiran lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan, minggu depan.

Katanya, bantuan itu adalah bagi membolehkan atlet melakukan persiapan rapi sebelum beraksi di temasya terbesar dunia berkenaan.

"Pada minggu depan, kita akan umumkan bantuan kewangan yang kita akan bantu atlet yang mewakili Malaysia tetapi mereka tidak ada dalam RTG ataupun tidak ada dalam Program Podium Majlis Sukan Negara.

"Ia seperti pemain badminton profesional yang akan pergi mewakili Malaysia. Perkara itu kita akan buat pengumuman minggu depan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Akaun Satelit Sukan di Menara Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Antara atlet yang layak menerima bantuan kewangan itu adalah pemain perseorangan badminton profesional lelaki dan wanita, Lee Zii Jia serta Goh Jin Wei dan Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran).

Ketiga-tiga atlet berkenaan sudah pun melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Paris.

Setakat ini, seramai 18 atlet negara sudah melayakkan diri ke temasya di Paris termasuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Atlet lain yang akan membawa cabaran negara di Olimpik kali adalah pelumba berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang akan beraksi dalam acara keirin dan pecut, serta Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya).

Mereka diiringi oleh Nur Shazrin Mohd Latif (kedua-duanya pelayaran), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), dan Bertrand Rhodict Lises (terjun).

Berita Harian X