Khamis, 30 Mei 2024 | 11:27pm
Pemain Speedy Tigers menjalani latihan menjelang aksi menentang Pakistan.
Pemain Speedy Tigers menjalani latihan menjelang aksi menentang Pakistan.

Empat bakat baharu sandaran Sarjit hadapi Pakistan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh mempertaruhkan empat bakat baharu dalam skuad Speedy Tigers apabila berdepan cabaran getir menentang pesaing utama Pakistan pada aksi pembukaan kejohanan Piala Negara-Negara di Gniezno, Poland, esok.

Empat pemain memperoleh ujian dalam skuad 18 pemain di Poland ialah pemain pertahanan Muhamad Faris Harizan dan Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin, pemain tengah Syawal Abul Razak dan penyerang Nur Rahull Hriskesa Thaitchana Muruthi.

Faris Harizan merupakan satu-satunya pemain beraksi pada Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur.

Selepas perlawanan dengan Pakistan, ranking ke-16 dunia dalam Kumpulan B, Malaysia (13) akan menentang Perancis (9) Ahad ini dan Kanada (20) pada Rabu depan.

Kumpulan A terdiri New Zealand (11), Korea Selatan 912), juara bertahan Afrika Selatan (14), Austria (19) dan tuan rumah Poland (28).

Sarjit, menerusi kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia, mengakui pertemuan dengan Pakistan adalah ujian getir tetapi beberapa perubahan dalam skuad dengan penyertaan empat pemain muda tersebut dapat membantu menampilkan prestasi sama semasa menentang lawan itu pada Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, awal bulan ini.

Pada saingan di PSAS, Malaysia tewas tipis 4-5 kepada Pakistan pada peringkat saingan liga sepusingan.

"Kejohanan ini adalah ujian penilaian bagi kebanyakan pemain terutama pemain muda dalam pasukan. Saya harap mereka akan mengambil peluang ini dan memberikan persembahan yang baik.

Persediaan kami untuk Sukan Asia 2026 adalah program jangka panjang dan kami mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan,"kata Sarjit yang dilantik pada Mac lalu.

Dalam pada itu, tonggak jentera serangan, Faizal Saari mengalami kecederaan ketika sesi latihan sudah pulih dan turut disenaraikan pada perlawanan esok.

"Faizal Saari telah pulih daripada kecederaan ringan lutut dan bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Poland. Walaupun kami tewas 0-2 dalam perlawanan yang dikurangkan kepada tiga suku, pemain mula memasuki momentum secara perlahan," katanya.

Senarai 18 pemain:

Penjaga Gol: Muhamad Hafizuddin Othman; Muhammad Zaimi Mat Deris

Pertahanan: Muhamad Marhan Jalil (Kapten); Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan; Muhamad Amirul Hamizan Azhar; Muhamad Najib Hassan; Muhamad Faris Harizan; Muhamad Kamarulzaman Kamarudin

Tengah: Mohd Fitri Saari; Nik Muhamad Aiman Nik Rozemi; Shello Silverius; Azimuddin Syakir Kamaruddin; Syawal Abdul Razak

Penyerang: Faizal Saari; Muhamad Azrai Aizad Abu Kamal; Mohamad Akhimullah Anuar Esook; Muhajir Rauf; Nur Rahull Hriskesa Thaitchana Muruthi

Simpanan: Naaveennash Panicker Thevendran; Muhammad Arif Syafie Ishak. - BERNAMA

Berita Harian X