Isnin, 27 Mei 2024 | 8:01pm
Aniq akan menjalani latihan di Turki sebelum ke Paris.
Aniq akan menjalani latihan di Turki sebelum ke Paris.

Aniq intai pingat di Olimpik

PETALING JAYA: Atlet angkat berat kebangsaan Mohammad Aniq Kasdan meletakkan impian untuk meraih pingat pada penampilan pertamanya di Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Namun untuk mencapai misi itu, beliau sedar perlu sekurang-kurangnya melakukan angkatan keseluruhan melebihi 300 kilogram (kg) berdasarkan prestasi pemenang pingat pada Olimpik Tokyo 2020 dan Piala Dunia IWF (Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa) di Phuket, Thailand awal bulan lepas.

Aniq yang bakal beraksi dalam kategori 61kg lelaki, memegang rekod kebangsaan dengan angkatan seberat 296kg, iaitu 126kg bagi snatch dan 170kg bagi clean and jerk.

Berkongsi impiannya, badang berusia 21 itu berkata beliau kini sedang menjalani latihan berintensiti tinggi yang mencapai tahap 90 peratus ke arah persiapan Paris 2024.

"Mestinya saya berdebar kerana ia bakal menjadi temasya terbesar bagi saya, jadi kena siapkan dari segi mental. Semua orang yang pergi mesti nak kejayaan, dan biar saya sasar yang tertinggi terus supaya lebih bersemangat dalam latihan.

"Buat masa ini saya boleh buat angkatan sehingga 300kg, namun untuk genggam pingat harus sasarkan angkatan sekitar 305kg," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis beramah mesra Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin bersama atlet Olimpik di sini hari ini.

Mohammad Aniq berkata beliau akan menjalani latihan selama sebulan bermula awal Jun di Rompin, Pahang, sebelum meneruskan kem latihan di Turki untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Eropah, dan seterusnya ke Paris.

Mohammad Aniq mempunyai peluang untuk menang pingat dengan angkatan melebihi 300kg berdasarkan keputusan di Tokyo 2020 apabila Li Fabin dari China meraih emas dengan 313kg, manakala Eko Yuli Irawan dari Indonesia (302kg) dan Igor Son (294kg) dari Kazakhstan masing-masing meraih perak dan gangsa.

Pada Piala Dunia bulan lepas, Li mengungguli kategori 61kg dengan angkatan keseluruhan 312kg, Hampton Morris dari Amerika Syarikat (303kg) merangkul perak dan Pak Myong Jin dari Korea Utara (301kg) meraih gangsa, manakala Aniq dengan angkatan 290kg berkedudukan kelapan.

Mohd Hafifi Mansor merupakan atlet angkat berat terakhir negara layak ke Sukan Olimpik pada edisi Rio 2016 dalam acara 69kg. - BERNAMA

Berita Harian X