Rabu, 22 Mei 2024 | 9:32pm

Malaysia akhirnya dapat 'libas' Thailand

KUALA LUMPUR: Gandingan negara, Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin mencipta sensasi apabila menumbangkan Thailand bagi muncul juara acara double pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, sebentar tadi.

Pada aksi final berlangsung di Stadium Titiwangsa itu, sokongan padu penyokong nyata membangkitkan semangat Aidil-Noraizat yang mencipta kemenangan 17-16, 15-13 ke atas Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut.

Aksi set pertama menyaksikan Aidil-Noraizat suatu ketika berjaya mendahului dengan kelebihan enam mata tetapi Thailand berjaya mengejar sekali gus membuatkan perlawanan berlangsung penuh mendebarkan.

Bagaimanapun, gandingan negara itu berjaya mengatasi tekanan dan kekal fokus untuk melakar kemenangan 17-16 di set pertama.

Set kedua turut berlangsung sengit apabila kedua-dua gandingan saling mengejar mata sebelum Malaysia mengakhiri perlawanan dengan kemenangan yang penuh bersejarah 15-13.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Malaysia berjaya menumbangkan Thailand dalam acara double dan pingat emas pertama negara dalam saingan Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 2011.

Pasukan double Malaysia, Muhammad Noraizat Mohd Nordin bersama Aidil Aiman Azwawi meraikan kemenangan menentang Thailand pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Pasukan double Malaysia, Muhammad Noraizat Mohd Nordin bersama Aidil Aiman Azwawi meraikan kemenangan menentang Thailand pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Berita Harian X