Selasa, 21 Mei 2024 | 9:25pm
Datuk Azizulhasni Awang mewakili Terengganu mengungguli acara Sprint Lelaki Elit pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional. STR/AZRUL EDHAM
Datuk Azizulhasni Awang mewakili Terengganu mengungguli acara Sprint Lelaki Elit pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional. STR/AZRUL EDHAM

Azizulhasni kekal fokus buru emas Olimpik

NILAI: Status sebagai sandaran utama dalam misi memburu kilauan pingat emas sulung negara di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 akan dipikul sebaiknya oleh jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Azizulhasni yang menganggap misi itu sebagai satu amanah buat dirinya berkata, biarpun tugas itu bukan mudah namun sebagai atlet berpengalaman, beliau sentiasa berusaha gigih untuk merealisasikan sasaran berkenaan.

"Suatu bebanan dan tak boleh nafikan perkara itu, tetapi bagi saya ia tanggungjawab kerana saya antara pelumba paling senior dalam pasukan berbasikal negara ke Olimpik. Tambahan pula program ini pun hasil daripada pelaburan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Datuk Azizulhasni Awang (tengah) mewakili Terengganu mengungguli acara Sprint Lelaki Elit diikuti Muhammad Ridwan Sahrom (kiri) mewakili Johor di tempat kedua dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kanan) mewakili Johor di tempat ketiga pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional. STR/AZRUL EDHAM

"Saya ambil tanggungjawab itu dan kena berusaha keras kerana ia bukan suatu usaha yang baharu atau setahun dua ini, tetapi sejak saya mula terbabit dalam sukan ini.

"Saya pun sudah memikul tanggungjawab ini sejak penyertaan pertama dalam Olimpik pada 2008, tapi situasi ketika itu berlainan kerana ia turut membabitkan Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei bagi sukan badminton) serta ada beberapa atlet lain yang menjadi sandaran.

"Berbanding sekarang ini ia lebih ke arah kepada saya, namun saya ambil tanggungjawab dan akan berusaha untuk membuktikannya (sasaran emas)," kata Azizulhasni yang mewakili Terengganu di Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 ketika ditemui di Velodrom Nasional, hari ini.

Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' sebelum ini pernah meraih gangsa di Rio 2016, perak di Tokyo 2020 dan emas di Paris pada Julai ini bakal melengkapkan koleksi pingatnya di temasya berprestij dunia itu.

Berita Harian X