Isnin, 20 Mei 2024 | 5:19pm
Norza (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim. - NSTP/SUKHAIRI THANI
Norza (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim. - NSTP/SUKHAIRI THANI

Norza tabik semangat Olimpian negara

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memuji semangat tinggi beberapa Olimpian terutama yang berada dalam program Road to Gold (RTG) yang secara terbuka menyatakan hasrat untuk menggapai pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

Antara Olimpian yang menyuarakan hasrat berkenaan adalah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan juga pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, sekali gus memperlihatkan kontinjen kali ini lebih 'luar biasa' daripada sudut mentaliti.

"Kalau dulu kita di pihak pengurusan yang kata nak ini (pingat emas) tetapi apabila atlet sendiri yang keluarkan (hasrat)... nampak ada keinginan untuk berdaya saing itu. Jadi apabila Datuk Azizulhasni, Lee Zii Jia dan sekarang ini Aaron Chia dan Soh Wooi Yik juga inginkan emas, jadi bagi saya itu saya semangat yang sihat buat mereka," kata Norza kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

Olimpik Paris 2024 hanya berbaki kurang tiga bulan dari sekarang dan bagi Norza, tempoh ini harus digunakan sebaiknya untuk memberi sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada barisan atlet negara.

"Bagi saya, sudah tentu kita semua harus melipat gandakan sokongan kita untuk memberi keyakinan sepenuhnya kepada atlet. Walaupun kontinjen kita mungkin tak ramai, tetapi kita ada atlet yang tepat, ramuan dan kontinjen bagi mencapai objektif meraih emas pertama diidamkan.

"Kita ada badminton, berbasikal dan juga sukan yang lain. Saya rasa momentum itu bagus tetapi jangan ada keraguan terhadap keupayaan atlet kita. Dalam tiga bulan ini, berikan sokongan padu kepada mereka.

"Kita dapat lihat atlet sangat bersemangat, jadi dengan doa, semangat rakyat Malaysia, saya rasa apapun tidak mustahil dan kita mampu mencapai kejayaan diharapkan. Saya gembira dengan persiapan," katanya.

Selain Azizulhasni, Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik, turut berada dalam senarai kontinjen ke Paris 2024 setakat ini adalah penerjun Bertrand Rhodict Lises; Nur Shazrin Latif dan Khairulnizam Afendy (pelayaran); Johnathan Wong (menembak); Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah); Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat); Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal trek) serta pelumba lebuhraya wanita, Nur Aisyah Zubir.

Kem badminton turut disertai Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita); Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita).

Berita Harian X