Ahad, 12 Mei 2024 | 9:33pm
Azizulhasni ketika perlumbaan di Jepun. - Foto FB Azizulhasni Awang.
Azizulhasni ketika perlumbaan di Jepun. - Foto FB Azizulhasni Awang.

Azizulhasni raih gangsa kedua di Jepun

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menaiki podium buat kali kedua dalam tempoh kira-kira 24 jam selepas meraih pingat gangsa dalam final keirin lelaki pada saingan Piala Trek Jepun II di Velodrom Izu di Shizuoka hari ini.

Azizulhasni yang turut merangkul gangsa dalam acara pecut semalam, terpaksa akur dengan kehebatan dua pelumba tuan rumah yang menyaksikan Kaiya Ota meraih emas dan perak menjadi milik Kento Yamasaki, demikian menurut https://www.uci.org/competition-details/2024/PIS/72366.

Pada perlumbaan hari ini, strategi juara dunia 2017 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin itu melakukan pecutan awal dapat dihidu Ota dan Yamasaki yang berjaya memintas untuk mengesahkan kejayaan satu-dua Jepun.

Ia adalah emas kedua Ota selepas pelumba sensasi Jepun berusia 24 tahun itu turut mengatasi Azizulhasni dengan mengungguli saingan pecut lelaki.

Pada masa sama, seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang gagal melayakkan diri ke final, menamatkan saingan tempat ketujuh hingga 12 di kedudukan kelapan.

Sementara itu, bintang muda berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih tempat ketujuh dalam acara keirin wanita apabila mendominasi perlumbaan tempat ketujuh hingga 12 selepas gagal menempatkan diri dalam saingan final.

Kedudukan tiga teratas menjadi milik pelumba Jepun dengan Mina Sato meraih emas, Fuko Umekawa (perak) dan Riyi Ohta membawa pulang gangsa.

Perlumbaan di Jepun itu sebagai antara persediaan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah yang merupakan tiga pelumba berbasikal trek negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum menghadapi cabaran di temasya sukan berprestij itu bermula Julai depan.

– BERNAMA

Berita Harian X