Ahad, 12 Mei 2024 | 5:07pm
Ketua Pengarah KPT, Prof Dr Azlinda Azman (kiri). - Foto Majlis Sukan Universiti Malaysia.
Ketua Pengarah KPT, Prof Dr Azlinda Azman (kiri). - Foto Majlis Sukan Universiti Malaysia.

KPT beri sokongan penuh buat Aniq, Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Dua penuntut universiti tempatan yang juga atlet kebangsaan, Muhammad Aniq Kasdan dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan diberi ruang yang cukup untuk mereka fokus terhadap persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof Dr Azlinda Azman, berkata pihaknya akan memberi sokongan penuh kepada kedua-dua atlet berkenaan termasuk dalam bentuk insentif sebelum mereka berlepas ke Paris.

Katanya, keutamaan KPT adalah memastikan kedua-dua atlet yang menjadi contoh kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) negara itu, menyerlahkan potensi sebenar mereka di Sukan Olimpik.

"KPT akan memberi sedikit insentif sebagai sokongan kita. Saya yakin lebih banyak agensi lain akan turut membantu potensi besar yang ada pada kedua-dua penuntut ini.

"Insentif yang akan disampaikan sebelum Sukan Olimpik bermula akan mengikut keperluan atlet itu sendiri, mungkin barangan, sokongan persiapan dan peralatan, namun semuanya bergantung kepada keperluan atlet," kata Azlinda, selepas upacara Penutup Karnival Sukan Masum 2024 di Universiti Malaya (UM) di sini, semalam.

Sebagai rekod, Aniq yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) layak ke Paris dalam sukan angkat berat (61kg) manakala Nurul Izzah, penuntut UM bakal beraksi dalam dua acara iaitu pecut individu dan keirin dalam sukan berbasikal trek.

Sementara Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, pihaknya sentiasa memahami keperluan atlet yang mengharumkan nama negara.

"Selain sukan, Nurul Izzah juga perlukan akademi dan kita akan memberi bantuan sepenuhnya.

"Kita tahu dia memerlukan masa yang banyak untuk latihan jadi kita telah membawa perhatian kepada senat, memberitahu Nurul Izzah memerlukan masa yang fleksibel untuk akademik kerana kita mahu dia berjaya dalam sukan dan juga akademik.

"Pengurusan universiti juga akan memberi sumbangan yang bersesuaian, mungkin pengecualian yuran dan sebagainya.

"Kita tidak mahu Nurul Izzah menghadapi masalah akademik, kewangan kerana mahu pastikan dia membawa pulangan dan membanggakan negara," kata Noor Azuan.

Berita Harian X