Sabtu, 11 Mei 2024 | 9:29pm
Azizulhasni (kanan) di Piala Trek Jepun II. - Foto FB Azizulhasni Awang
Azizulhasni (kanan) di Piala Trek Jepun II. - Foto FB Azizulhasni Awang

Azizulhasni raih gangsa pecut Piala Trek Jepun II

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang terus menunjukkan kemajuan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 apabila berjaya menaiki podium dalam acara pecut lelaki pada saingan Piala Trek Jepun II di Velodrom Izu di Shizuoka, hari ini.

Juara dunia 2017 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin itu yang menyasarkan emas di Paris bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan kilauan pingat gangsa selepas menamatkan perlumbaan final di belakang dua pelumba tuan rumah.

Gelaran juara menjadi milik Kaiya Ota sekali gus menyerlahkan statusnya sebagai pemenang pingat emas dalam acara itu pada Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lepas sementara rakan senegaranya Yuta Obara di tempat kedua.

Ia adalah perlumbaan kompetitif di luar negara pertama buat Azizulhasni sejak pelumba berusia 36 tahun itu yang mendapat julukan 'The Pocket Rocketman' meraih gangsa acara keirin pada Kejohanan Kebangsaan Australia 2024, awal Mac lepas.

Pada masa sama, seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan di kedudukan kelapan.

Sementara itu, dalam saingan wanita, bintang muda berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terpaksa akur dengan kehebatan barisan pelumba Jepun yang mendominasi perlumbaan apabila sekadar mengakhiri saingan di tempat ketujuh.

Pemenang emas pecut dan keirin Sukan Asia Hangzhou, Mina Sato berada dalam kelas tersendiri untuk mengungguli saingan diikuti dua rakan senegaranya Fuko Umekawa (kedua) dan Riyu Ohta di posisi ketiga.

Saingan Piala Trek Jepun II akan bersambung esok dengan ketiga-tiga pelumba negara dijadual mengambil bahagian dalam acara keirin.

Perlumbaan di Jepun itu sebagai antara persediaan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah yang juga tiga pelumba berbasikal trek negara layak ke Paris sebelum menghadapi cabaran di temasya sukan berprestij itu bermula Julai depan. – BERNAMA

Berita Harian X