Sabtu, 11 Mei 2024 | 9:01pm
Aksi Malaysia ketika menentang New Zealand pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh. - NSTP/L.MANIMARAN
Aksi Malaysia ketika menentang New Zealand pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh. - NSTP/L.MANIMARAN

Speedy Tigers keempat PSAS

IPOH: Skuad hoki negara menanggung kekecewaan kali kedua selepas tumbang 2-3 di tangan pasukan ranking ke-10 dunia, New Zealand pada penentuan tempat ketiga Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), hari ini.

Sebelum ini Speedy Tigers gagal melangkah ke pentas final sekali gus menutup impian mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2022.

Skuad bimbingan Sarjit Singh meraih gol pertama menerusi penyerang, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal seawal minit ketiga yang tenang menyempurnakan hantaran jauh daripada Faizal Saari.

Namun jaringan itu tidak bertahan lama apabila New Zealand berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Scott Cosslett dua minit selepas itu sebelum Jonty Elmes menambah gol kedua minit ke-10.

Speedy Tigers menggandakan asakan selepas itu dan mereka berpeluang untuk menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan penalti stroke minit ke-39 namun tolakan Azrai jauh tersasar.

New Zealand yang akan beraksi di Sukan Olimpik Paris, menambah derita skuad negara apabila memperoleh gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti Dane Lett minit ke-48.

Pemain tengah negara, Fitri Saari menjaringkan gol padang pada minit terakhir perlawanan, namun kebangkitan itu sudah terlewat sekali gus menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati menamatkan saingan kali ini di kedudukan keempat.

Sebelum ini skuad negara berjaya menewaskan New Zealand 3-2 ketika perlawanan persahabatan serta 6-4 pada aksi liga sepusingan.

"Kekalahan ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran untuk pemain dan ia adalah lumrah dalam sukan ini. Mereka sudah melakukan segala-galanya namun tidak dapat menyempurnakan peluang yang ada.

"Saya sudah berulang kali katakan sebelum ini bahawa New Zealand adalah pasukan yang lebih baik berbanding skuad negara. Kami agak bernasib baik kerana memenangi dua perlawanan sebelum ini," kata Sarjit pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Sebelum ini skuad negara berjaya menewaskan New Zealand 3-2 ketika aksi persahabatan serta 6-4 pada aksi liga sepusingan.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli menyaksikan aksi Malaysia serta perlawanan final membabitkan Pakistan dan Jepun, hari ini.

Sementara itu, Korea menamatkan edisi PSAS kali ini di kedudukan kelima selepas mengatasi Kanada 4-1 pada penentuan tempat kelima dan keenam.

Gol juara tiga kali PSAS itu disumbangkan oleh Kong Yoon Ho minit ke-15, Lim Doh Yun (m-16), Seo In Woo (m-17) dan Jung Hyunho (m-24) manakala gol tunggal Kanada dijaringkan oleh Harbir Sidhu minit ke-50.

Berita Harian X