Khamis, 9 Mei 2024 | 4:17pm
Nurul Izzah akan beraksi dalam perlumbaan Piala Trek Jepun esok.
Nurul Izzah akan beraksi dalam perlumbaan Piala Trek Jepun esok.

Misi 10 saat Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memburu catatan masa 10 saat (s) dalam acara pecut apabila turun beraksi dalam siri perlumbaan Piala Trek Jepun di Velodrom Izu, esok.

Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman, berkata dia mahu mencabar diri untuk memburu catatan masa berkenaan sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain acara pecut, juara Asia berusia 20 tahun itu juga akan menyertai acara keirin di Jepun.

"Misi di Jepun, saya nak cuba cecah 10s dalam acara pecut, jika mencecah masa itu, ia menjadi petunjuk peningkatan prestasi.

"Dalam acara keirin pula, saya mahu beranikan diri berdepan pesaing kerana mereka semua adalah pelumba berkelas dunia, saya mahu cabar diri," kata Nurul Izzah.

Pada Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) di Nilai tahun lalu, dia memecah rekod kebangsaan acara pecut pada pusingan kelayakan dengan catatan 10.903s.

"Semua ini saya mahu lakukan kerana berharap dapat mencatat 10s atau 10.9s lagi di Olimpik Paris.

"Ketika ini, catatan pelumba semakin pantas malah di kejohanan Piala Negara-Negara, pelumba yang mencatat masa 11.1s sudah tidak layak, jadi saya perlukan banyak peningkatan," katanya.

Selain Nurul Izzah, dua lagi pelumba negara yang layak beraksi di Olimpik Paris turut akan menyertai kejohanan di Jepun iaitu Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Berita Harian X