Rabu, 8 Mei 2024 | 3:55pm
Pemain Malaysia, Azrai Aizad Abu Kamal diasak pemain New Zealand pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah Ipoh. NSTP/L.MANIMARAN
Pemain Malaysia, Azrai Aizad Abu Kamal diasak pemain New Zealand pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah Ipoh. NSTP/L.MANIMARAN

Sarjit tak pening lagi

IPOH: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh dilihat tidak perlu lagi berasa gusar atau pening kepala memilih barisan jentera serangan pasukan yang baharu dibentuknya untuk menghadapi beberapa kejohanan selepas ini.

Ini kerana, selain penyerang veteran, Faizal Saari serta bintang sedang meningkat naik, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Sarjit boleh meletakkan kepercayaan kepada empat penyerang lagi untuk meledak gol iaitu Azimuddin Syakir Kamaruddin, Muhajir Abdu Rauf, Mohamad Akhimullah Anuar Esook serta Norsyafiq Sumantri.

Setakat tiga perlawanan di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) bertemu Pakistan, Kanada serta New Zealand semalam, Azrai paling menyerlah apabila sudah meledak tujuh gol manakala Faizal serta Azimuddin pula masing-masing dua gol.

Muhajir juga kini muncul penyumbang gol untuk Speedy Tigers selepas berjaya membolosi gawang ketika bertemu New Zealand.

"Seperti saya katakan sebelum ini, dia (Azrai) dan Faizal pemain luar biasa. Bagi saya, Akimullah perlu diberi lebih peluang untuk bermain kerana dia sudah lama tidak beraksi.

"Tapi prestasinya semakin baik dari hari ke sehari. Dia perlu beraksi antara 15 hingga 20 perlawanan lagi untuk raih lebih pengalaman. Kemudian barulah kita dapat melihat gandingan tiga penyerang yang bagus.

"Sudah tentu juga Azimuddin dan Muhajir turut memberi sumbangan besar dan paling penting kesemua mereka ini sangat pantas. Kepantasan itu adalah kelebihan utama dimiliki skuad negara," katanya.

Sarjit berkata, setiap perlawanan yang diharungi oleh Malaysia adalah satu pengalaman berharga untuk barisan pemain meskipun mengalami kekalahan seperti ketika perlawanan pertama bertemu Pakistan.

Selepas PSAS yang menjadi ujian pertama Sarjit, Speedy Tigers akan menyertai kejohanan Piala Negara-Negara di Poland dari 30 Mei hingga 9 Jun dan Trofi Juara-Juara Asia dari 8 hingga 17 September di Inner Monggolia, China.

Berita Harian X