Selasa, 7 Mei 2024 | 10:58pm
Hannah bersama barisan perenang muda di Cameron Highlands. Foto: KBS
Hannah bersama barisan perenang muda di Cameron Highlands. Foto: KBS

KBS akan tambah baik infrastruktur sukan di Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat untuk menambah baik infrastruktur sukan di Cameron Highlands bagi memberi sokongan kepada atlet muda di kawasan itu sehingga ke peringkat akar umbi.

Menterinya, Hannah Yeoh memaklumkan perkara berkenaan selepas mendapati terdapat kekurangan yang menyukarkan atlet di kawasan berkenaan menjalani latihan dan menggunakan kemudahan diperlukan.

Beliau berkata, antara kekurangan infrastruktur dihadapi masyarakat setempat adalah ketiadaan kolam renang menyebabkan atlet terpaksa menjalani latihan di kolam renang di Strawberry Park Resort yang disediakan secara percuma.

Hannah meluangkan masa melakukan senaman ringan bersama warga emas. Foto: KBS
Hannah meluangkan masa melakukan senaman ringan bersama warga emas. Foto: KBS

"Kementerian berdedikasi untuk memupuk sukan daripada peringkat akar umbi hingga sukan elit. Kami berhasrat untuk mewujudkan peluang kepada semua orang untuk melibatkan diri dalam sukan tanpa mengira umur atau latar belakang mereka," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan KBS hari ini.

Hannah turut menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan wakil tempatan bagi mencapai matlamat tersebut khususnya dalam mengenal pasti tanah untuk projek menambah baik infrastruktur sukan berkenaan.

Hannah bersama belia Orang Asli Cameron Highlands. Foto: KBS
Hannah bersama belia Orang Asli Cameron Highlands. Foto: KBS

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan Hannah telah meninjau cadangan kerja menaik taraf untuk mengubah padang menjadi kemudahan trek dan padang yang berfungsi sebagai tempat utama untuk aktiviti sukan tempatan, acara sekolah dan aktiviti rekreasi.

"Di samping itu, Hannah turut melawat gim komuniti tempatan yang diuruskan oleh Majlis Belia Daerah Cameron Highlands yang mana beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk menaik taraf peralatan gim itu," menurut KBS.

Lawatan Hannah itu turut disertai Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor. - BERNAMA

Berita Harian X