Ahad, 5 Mei 2024 | 10:54pm
Pemain Malaysia, Muhammad Azrai Abu Kamal menjaringkan gol ketika menentang Kanada pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah Ipoh. NSTP/L.MANIMARAN
Pemain Malaysia, Muhammad Azrai Abu Kamal menjaringkan gol ketika menentang Kanada pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah Ipoh. NSTP/L.MANIMARAN

Speedy Tigers bangkit belasah Kanada

IPOH: Skuad hoki negara bangkit daripada kekecewaan tewas kepada Pakistan semalam apabila meraih kemenangan meyakinkan 6-2 ke atas Kanada pada perlawanan kedua Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), hari ini.

Bagi ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh ia adalah satu keputusan positif diraih barisan pemainnya meskipun masih ada beberapa kelemahan yang perlu di atasi segera sebelum aksi ketiga bertemu New Zealand, Selasa ini.

"Secara keseluruhan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain menepati apa yang saya harapkan.

"Tapi saya masih tak berpuas hati dengan prestasi mereka kerana kita membenarkan Kanada menjaringkan dua gol yang mana bagi saya, kami memberikan gol itu kepada mereka.

"Kami perlu memperkemaskan benteng pertahanan kerana pada perlawanan hari ini, kami nampak agak lemah di bahagian itu," katanya pada sidang media hari ini selepas tamat perlawanan.

Speedy Tigers dikejutkan dengan gol pertama Kanada menerusi jaringan padang Devohn Noronha Teixeira pada minit ke-12 namun pemain tengah negara, Fitri Saari pantas menyamakan kedudukan seminit kemudian.

Penyerang negara, Muhammad Azrai Abu Kamal yang mencipta hatrik ketika bertemu Pakistan pada perlawanan pertama semalam, menambah gol kedua minit ke-14.

Pemain muda negara, Azimuddin Kamaruddin melakar sejarah peribadi apabila menjaringkan gol pertama untuk skuad senior negara, yang juga gol ketiga Speedy Tigers pada minit ke-19.

Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menjadikan kedudukan 4-1 minit ke-31 namun kecuaian dilakukan oleh benteng pertahanan negara menyaksikan Teixeira merapatkan jurang minit ke-42.

Bagaimanapun skuad negara kembali menambah gol hasil pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan minit ke-48 dan penyerang negara, Faizal Saari seminit kemudian yang juga gol ke-141 dirinya bersama skuad kebangsaan.

Skuad negara akan turun pada perlawanan ketiga bertemu pilihan utama kejohanan, New Zealand, Selasa ini.

Sementara itu, Pakistan meraih kemenangan kedua selepas mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas juara tiga kali PSAS, Korea Selatan, hari ini.

Hannan Shahid meletakkan Pakistan menerusi gerakan solo cantik seawal minit ke-3 sebelum Arshad Liaqat menambah gol kedua, juga menerusi gol padang minit ke-20.

Tiga minit sebelum berakhir babak pertama, Ghazanfar Ali menambah gol ketiga Pakistan minit ke-27 dan Sufyan Khan melengkapkan kemenangan bergaya pasukan yang menduduki ranking ke-15 dunia itu dengan gol keempat minit ke-50.

Berita Harian X