Jumaat, 3 Mei 2024 | 9:32pm
Datuk Azizulhasni Awang (tengah) mendominasi acara keirin dan pecut individu pada perlumbaan Siri 1 Piala Presiden di Velodrom Nasional di sini, hari ini.
Datuk Azizulhasni Awang (tengah) mendominasi acara keirin dan pecut individu pada perlumbaan Siri 1 Piala Presiden di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Azizulhasni ungguli keirin, pecut individu

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menepati ramalan apabila mendominasi kedua-dua acara keirin dan pecut individu pada perlumbaan Siri 1 Piala Presiden di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Pelumba berusia 36 tahun itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan rakan sepasukan, Muhammad Ridwan Sahrom pada aksi final pecut individu.

Dia yang diberi julukan The Pocket Rocketman kemudiannya mengungguli saingan keirin mengatasi seorang lagi pelumba negara, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri di tempat kedua dan Dika Alif Dhentaka dari Indonesia ketiga.

Azizulhasni berkata perlumbaan kali ini adalah medan pemanas badan buat dirinya sebelum beraksi pada siri Piala Trek Jepun, minggu depan.

"Saya menyertai perlumbaan ini sebagai latihan kerana kami akan berangkat ke Jepun pada Isnin untuk beraksi dalam dua kejohanan di sana.

"Hari ini adalah untuk menguji prestasi semasa saya. Saya berpuas hati apabila berjaya mencatat 9.8 saat untuk jarak 200 meter biarpun masih keletihan kerana mengharungi perjalanan yang panjang," kata Azizulhasni yang menjadi sandaran utama menyumbang pingat emas buat negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Seorang lagi pelumba negara yang akan beraksi di Paris, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terbabit dengan kemalangan ketika suku akhir acara pecut individu tetapi tidak mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berada pada kelas tersendiri apabila mengungguli saingan keirin dan pecut individu wanita.

Dia yang turut layak ke Olimpik Paris mengatasi rakan sepasukan, Nurul Aliana Syafika Azizan pada aksi final pecut individu.

Dalam acara keirin, juara Asia itu menewaskan pelumba Indonesia, Ratu Afifah Nur Indah yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala seorang lagi pelumba negara, Yong Ann Yii ketiga.

"Saya tidak pernah memandang rendah lawan saya dan sentiasa cuba untuk memacu diri saya, saya tidak pernah mahu berasa terlalu selesa atau meremehkan sesiapa pun jadi saya sentiasa berlumba sepenuh tenaga ketika saya berlumba.

"Saya agak gembira dengan prestasi saya walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki, saya sentiasa cuba untuk menjadi lebih baik, terutamanya dalam hal teknik dan taktik," kata Izzah.

Azizulhasni tidak akan bersaing pada perlumbaan Siri 2 Piala Presiden esok.

Berita Harian X