Jumaat, 3 Mei 2024 | 9:04pm
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh. - Foto NSTP
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh. - Foto NSTP

Perjuangan belum berakhir - Sarjit

IPOH: Perjuangan masih belum berakhir. Itu mesej jelas yang mahu disampaikan ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh kepada barisan pemain yang tidak terpilih ke dalam senarai 18 terakhir untuk beraksi di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) bermula esok.

Jelas Sarjit, 12 pemain yang tidak terpilih itu masih berpeluang untuk merebut tempat pada kejohanan selepas ini, malah beliau sendiri berjanji akan memilih antara empat atau lima daripada pemain yang nama mereka tercicir kali ini.

Sarjit memilih 18 pemain terbaik itu selepas berakhir dua aksi persahabatan dengan New Zealand kelmarin yang menyaksikan skuad negara menang 3-2 sebelum tumpas 2-1 di tangan Korea Selatan.

"Bukan mudah untuk mendapatkan perlawanan yang berkualiti dan kami bertuah kerana dapat menentang lawan yang sangat kuat seperti New Zealand yang memberikan kami perlawanan berkualiti.

"Apabila kami mendapat banyak perlawanan berkualiti, barulah kami boleh mendapat idea yang lebih baik mengenai pemilihan pasukan," kata Sarjit yang juga bekas pemain skuad kebangsaan.

Sarjit menegaskan, setiap hari pastinya ada sesuatu yang dipelajari oleh barisan pemainnya dan mereka tidak boleh mengelak daripada melakukan kesilapan.

"Kami akan cuba meminimumkan kesilapan dan memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi. Suasana ketika sesi latihan dan beraksi pada perlawanan antarabangsa adalah berbeza," katanya.

Dua pemain muda, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Che Sharul Azmi Che Saupi adalah antara 18 pemain disenaraikan bagi menggalas cabaran skuad hoki lelaki negara di PSAS bermula esok menentang Pakistan.

Azimuddin yang beraksi di posisi penyerang dan Che Sharul Azmi di posisi penjaga gol bakal meraih penampilan antarabangsa pertama mereka bersama skuad kebangsaan.

Berita Harian X