Jumaat, 3 Mei 2024 | 8:55pm
Kapten Speedy Tigers, Marhan Jalil yakin pasukan mampu memberikan persembahan terbaik di Piala Sultan Azlan Shah yang bermula esok.
Kapten Speedy Tigers, Marhan Jalil yakin pasukan mampu memberikan persembahan terbaik di Piala Sultan Azlan Shah yang bermula esok.

Aksi persahabatan uji pemain muda - Marhan

IPOH: Dua aksi persahabatan menentang New Zealand serta Korea Selatan menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) bermula esok memberi pengalaman berguna kepada skuad hoki lelaki negara.

Ia diakui kapten Speedy Tigers, Marhan Jalil yang menyifatkan kemenangan 3-2 ke atas New Zealand kelmarin sebelum tumpas 2-1 di tangan Korea Selatan semalam bukanlah menjadi keutamaan kepada pasukan.

Sebaliknya, ia memberi minit permainan kepada barisan pemain sebelum turun beraksi dalam perlawanan sebenar terutamanya pertemuan pertama dengan Pakistan, esok.

"Kami tidak menurunkan kebanyakan pemain senior yang berpengalaman menentang Korea. Malah, kami memberi peluang kepada barisan pemain muda untuk mempamerkan kemampuan mereka menentang Korea.

"Cabaran kami akan bermula di Piala Sultan Azlan Shah pada perlawanan pertama menentang Pakistan, Sabtu ini (esok).

"Kami sudah bertemu Pakistan banyak kali dan yang terbaru adalah di kelayakan Olimpik dekat Oman pada Januari lalu. Keputusan ketika itu terikat 3-3.

"Kami sedang membentuk pasukan baharu. Ia akan mengambil masa dan saya yakin pemain akan memberikan yang terbaik pada kejohanan kali ini," kata Marhan selepas perlawanan menentang Korea yang menyaksikan dia serta beberapa tonggak lain direhatkan oleh pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh.

Pada perlawanan itu, gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Syed Syafiq Syed Cholan menerusi pukulan sudut penalti manakala dua gol Korea Selatan masing-masing menerusi jaringan padang dan pukulan sudut penalti.

Pada edisi Piala Sultan Azlan Shah kali ini, Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia akan berdepan New Zealand (ke-10), Korea (ke-11), Pakistan (ke-15), Jepun (ke-16) dan Kanada (ke-19).

New Zealand menjadi satu-satunya pasukan akan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 yang berada dalam kejohanan ini dan tentunya penyertaan mereka menambah prestij kejohanan jemputan itu.

Selepas berakhir PSAS, Speedy Tigers mempunyai dua lagi pertandingan tahun ini - Piala Negara-Negara di Gniezno, Poland pada 31 Mei hingga 9 Jun dan Piala Juara-Juara Asia di Mongolia bermula 8 hingga 17 September depan.

Berita Harian X