Khamis, 2 Mei 2024 | 10:14pm
Barisan pemain hoki senior lelaki negara bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah yang bermula Sabtu ini. - Foto KHM
Barisan pemain hoki senior lelaki negara bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah yang bermula Sabtu ini. - Foto KHM

Skuad Piala Sultan Azlan Shah

KUALA LUMPUR: Dua pemain muda, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Che Sharul Azmi Che Saupi antara 18 pemain yang disenaraikan bagi menggalas cabaran skuad hoki senior lelaki negara bagi menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak yang bermula Sabtu ini.

Azimuddin yang beraksi di posisi penyerang dan Che Sharul Azmi di posisi penjaga gol bakal meraih kap antarabangsa pertama mereka bersama skuad kebangsaan.

Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh menyifatkan pemilihan 18 pemain yang diumumkan hari ini mengambil kira pelbagai aspek termasuk prestasi semasa pemain, komitmen semasa sesi latihan serta pemahaman konsep yang diterapkan pasukan.

"Kami barisan kejurulatihan berharap persefahaman antara pemain muda atau pemain baharu di dalam pasukan bersama pemain yang lebih senior dapat dibentuk dengan cepat sewaktu dalam perlawanan dan berharap pasukan ini dapat berkembang serta menjadi lebih matang dengan secepat mungkin terutamanya ketika bersaing di peringkat antarabangsa.

"Barisan kejurulatihan juga mengharapkan pemain dapat memberikan aksi yang konsisten dalam setiap perlawanan selain keyakinan yang tinggi serta sikap yang baik dapat ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung.

"Kejohanan pertama ini juga seharusnya digunakan oleh pemain-pemain yang lebih muda untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin daripada pemain yang lebih berpengalaman," kata Sarjit.

Semalam, The Speedy Tigers turun menentang New Zealand dalam aksi persahabatan sebagai persediaan terakhir sebelum kejohanan membuka tirai dengan Malaysia mencatatkan kemenangan 3-2 sebelum tewas 2-1 di tangan Korea Selatan, petang tadi.

Skuad negara yang turun selaku juara bertahan selepas menjuarai edisi 2022 akan membuka tirai saingan menentang Pakistan, Sabtu ini.

Empat lagi pasukan yang menyertai edisi kali ini adalah Kanada, New Zealand, Jepun dan Korea.

Senarai pemain dan posisi

1 Muhammad Hafizuddin Othman - penjaga gol

2 Che Sharul Azmi Che Saupi - penjaga gol

3 Muhammad Marhan Jalil (kapten) - pertahanan

4 Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan - pertahanan

5 Muhammad Amirul Hamizan Azhar - pertahanan

6 Muhamad Shafiq Hassan - pertahanan

7 Muhammad Najib Abu Hassan - pertahanan

8 Syarman Mat Tee - pertahanan

9 Mohd Fitri Saari - tengah

10 Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi - tengah

11 Shello Silverius - tengah

12 Norsyafiq Sumantri - tengah

13 Alfarico Lance Liau Jr - tengah

14 Faizal Saari - penyerang

15 Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal - penyerang

16 Muhajir Abdu Rauf - penyerang

17 Mohamad Akhimullah Anuar Esook - penyerang

18 Azimuddin Syakir Kamaruddin - penyerang

Berita Harian X