Khamis, 2 Mei 2024 | 5:42pm
Hannah Yeoh selepas merasmikan Pameran 'Science in Service of Medals' di Universiti Malaya (UM). - Foto ihsan KBS
Hannah Yeoh selepas merasmikan Pameran 'Science in Service of Medals' di Universiti Malaya (UM). - Foto ihsan KBS

'Tiru semangat juang Azizulhasni'

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap atlet negara yang akan menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 dapat menanamkan semangat seperti jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang yang mempunyai keazaman tinggi bagi memenangi pingat emas di temasya itu.

Beliau mengakui tidak terkejut dengan sasaran peribadi Azizulhasni itu berdasarkan sifat semulajadi yang ada dalam diri atlet elit seperti pelumba berusia 36 tahun berkenaan apatah lagi dia pernah meraih pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kalau tidak ada sasaran untuk pingat barulah saya berasa risau, seperti Azizulhasni saya tahu dia dahagakan pingat emas.

"Saya harap semua atlet terutama yang berada dalam Program Road To Gold (RTG) mempunyai semangat yang sama sepertinya," kata Hannah selepas merasmikan Pameran 'Science in Service of Medals' di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Menurut Hannah, semua atlet dalam Program RTG diberikan bantuan tambahan untuk mencerahkan peluang meraih emas.

"Saya tidak mahu mengatakan bahawa mereka yang lain tidak berpeluang tetapi dalam sukan apa sahaja boleh terjadi.

"Apa sahaja bantuan tambahan yang kita berikan kepada mereka termasuk yang dalam proses kelayakan diharap mampu memberikan aksi terbaik," katanya.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman menetapkan sasaran untuk memenangi emas di Olimpik Paris pada penampilan terakhirnya di temasya terbesar dunia itu.

Bekas juara dunia itu mahu melengkapkan koleksi pingatnya di Olimpik selepas memenangi gangsa di Olimpik Rio 2016 dan perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin.

Azizulhasni tidak berseorangan membawa cabaran Malaysia dalam berbasikal trek di Paris nanti apabila dia turut akan diiringi dua lagi pelumba berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Asri yang turut layak ke temasya itu.

Berita Harian X