Selasa, 30 April 2024 | 2:27pm
Nur Shazrin tidak perlu tarik diri daripada Olimpik.
Nur Shazrin tidak perlu tarik diri daripada Olimpik.

Nur Shazrin tak perlu dibedah

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) optimis kecederaan dibelenggu pelayar wanita negara, Nur Shazrin Mohamad Latif dapat dipulihkan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirainya, Julai nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, pelayar berusia 26 tahun itu ketika ini berada dalam pemantauan pihaknya dan sedang menjalani rawatan pemulihan.

"Saya percaya pakar perubatan ISN akan berusaha sehabis baik untuk membantu Nur Shazrin dan setiap keputusan yang kami buat, kami akan buat berasaskan siasatan daripada imbasan kecederaan berkenaan.

"Kita ada dalam tiga bulan lagi dan saya optimis (pulih)," kata Ahmad Faedzal kepada media selepas Majlis Simposium Kardiologi di ISN, hari ini.

Semalam, Nur Shazrin memberi bayangan kemungkinan dia 'terpaksa' melupakan penampilan kali ketiganya di Sukan Olimpik Paris 2024 berikutan kecederaan pada tangan kanan ketika menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis baru-baru ini.

"Dia masih dalam proses pemulihan dan setakat ini (ISN) akan bersama jurulatih dan atlet itu sendiri. Buat masa ini tak ada keputusan untuk tarik diri dan kita masih dalam berbincang dengan pasukan," kata Ahmad Faedzal.

Mengulas lanjut, Ahmad Faedzal berkata, berdasarkan pengamatan awal, kecederaan Nur Shazrin itu tidak memerlukan pembedahan.

Untuk rekod, Nur Shazrin mengesahkan tempat ke Paris 2024 selepas meraih pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou dalam kategori Handed Dinghy ILCA 6.

Paris 2024 bakal menjadi Olimpik ketiga Nur Shazrin selepas menyertai temasya di Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Berita Harian X