Isnin, 29 April 2024 | 5:09pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah), Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd Nazifudin Najib dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) ketika sidang media mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini. - Foto NSTP/AZIAH AZMEE
Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah), Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd Nazifudin Najib dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) ketika sidang media mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini. - Foto NSTP/AZIAH AZMEE

MOM jangka 10 lagi atlet 'lolos' ke Paris

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan bahawa sebanyak 18 atlet kebangsaan daripada tujuh jenis sukan layak ke Olimpik Paris 2024 setakat hari ini.

Beliau berkata menjelang tarikh tutup pada penghujung Jun ini, pihaknya menjangkakan kira-kira 10 lagi atlet akan layak ke edisi ke-33 Olimpik yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

"Antara yang kita jangkakan adalah daripada sukan memanah bagi acara individu dan berpasukan yang bakal bertanding pada kejohanan kelayakan terakhir di Antalya, Turkiye bermula 14 hingga 17 Jun.

"Kita juga ada pengagihan semula kuota yang tidak digunakan dalam sukan terjun, dan 'universality places' atau lebih dikenali sebagai 'wildcard' bagi sukan renang dan olahraga. Jadi kita jangkakan kontinjen mungkin sekitar 28 orang," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Eksekutif ke-209 MOM di sini hari ini.

Menurut kriteria yang ditetapkan oleh badan Memanah Dunia ( World Archery), sebanyak tiga slot acara berpasukan (9 atlet) dan dua slot bagi acara individu bakal menjadi rebutan bagi negara yang belum layak ke Olimpik ketika kejohanan di Antalya itu.

Selain itu, turut ditawarkan kelayakan bagi dua pasukan ranking tertinggi dunia pada 24 Jun, manakala dua tiket wildcard bagi acara individu turut akan ditentukan pada tarikh sama.

Lapan atlet terbaharu yang mengesahkan slot ke temasya berprestij itu adalah daripada kem badminton negara iaitu pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita), selepas ranking kelayakan ditutup semalam.

Namun, pengesahan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dijangka hanya diperolehi esok.

Atlet lain yang akan membawa cabaran negara di Olimpik kali ialah atlet berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang akan beraksi dalam acara keirin dan pecut, serta Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya).

Mereka diiringi oleh Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif (kedua-duanya pelayaran), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), dan Bertrand Rhodict Lises (terjun).

Sementara itu, Mohamad Norza berkata Majlis Olimpik Asia (OCA) telah menangguhkan forum Solidariti Olimpik bagi Jawatankuasa Olimpik zon Asia Timur dan Tenggara di Kuala Lumpur dari awal Mei ke tarikh baharu, 1-2 Jun ini. - BERNAMA

Berita Harian X