Isnin, 29 April 2024 | 4:09pm
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (tengah) beramah mesra bersama jaguh bina badan negara Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (kanan) ketika majlis pelancaran "Play True Day" di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - Bernama
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (tengah) beramah mesra bersama jaguh bina badan negara Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (kanan) ketika majlis pelancaran "Play True Day" di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - Bernama

Penganjuran Sukan SEA 2027 masih 'samar'

KUALA LUMPUR: Penganjuran Sukan SEA 2027 di Malaysia berada dalam status 'samar' apabila Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh memaklumkan yang kementeriannya masih dalam proses perbincangan awal bersama beberapa pemegang taruh.

Buat masa ini, Hannah berkata, kementeriannya sudah diarahkan oleh Kabinet untuk mendapatkan lebih banyak maklumat serta kajian impak yang bakal diperoleh menerusi penganjuran temasya dwitahunan berkenaan di Malaysia.

"Kabinet meminta KBS mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai penganjuran Sukan SEA 2027 dan kita juga sudah mengadakan satu mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara.

"Saya juga akan berjumpa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memastikan kita memulakan perbincangan bagi melihat kajian impak kepada penganjuran. Perkara itu sedang berjalan dan saya tak mahu komen lebih lanjut," kata Hannah kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan 'Play Ture Day' dan sesi ramah mesra menteri bersama warga kementerian dan pemegang taruh utama KBS di Arena Axiata, hari ini.

Dua tahun lalu, MOM mengumumkan yang Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi ke-34 Sukan SEA pada 2027 dalam satu mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Hanoi, Vietnam.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilaporkan berkata, SEAGF sudah menghubungi MOM bagi mengemukakan tawaran kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 susulan pengunduran Brunei.

"Kita tunggu KBS buat kajian dulu. Kalau saya kata kita mengalu-alukan, nanti jadi seperti kita sudah mengesahkannya (penganjuran Sukan SEA 2027). Sekarang ini untuk jemaah menteri... semua kertas kerja yang kita bawa, Kementerian Kewangan nak pastikan kita betul-betul membuat kajian terhadap impaknya.

"Kita tak nak (apabila) bentang, (kemudian) anjur dan selepas dua tiga tahun akan datang, kita kata duit tak cukup dan meminta tambahan (dana). Perkara sebegitu tidak seharusnya ada.

"Perdana Menteri mahu setiap kementerian itu betul-betul bertanggungjawab mengenai bajet yang ada dan Kabinet sudah meminta KBS supaya memastikan yang kita memaklumkan kepada penganjur ataupun persatuan sukan supaya sebelum mereka membida apa-apa (kejohanan atau temasya) untuk pastikan dapat kelulusan KBS dulu," katanya.

Hannah berkata, pihaknya juga tidak dapat menjangkakan bilakah keputusan status penganjuran itu dapat diumumkan memandangkan pihaknya masih dalam perbincangan awal.

"Saya tak tahu lagi kerana kita sedang adakan perbincangan awal dan saya akan kemas kini semula kepada Kabinet selepas berjumpa dengan pemegang taruh termasuk badan korporat juga," katanya.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah pada 2017 dengan kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan memungut 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Berita Harian X