Ahad, 28 April 2024 | 5:35pm
Muhammad Shah Firdaus Sahrom ketika memenangi gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022. - AFP
Muhammad Shah Firdaus Sahrom ketika memenangi gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022. - AFP

Shah Firdaus tak mahu tunggu lagi

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak mahu 'melewat-lewatkan' sasarannya memburu kilauan pingat terutama emas di temasya Sukan Olimpik walaupun masih berpeluang untuk menyertai Olimpik Los Angeles 2028.

Atlet berusia 28 tahun itu sudah pun mengesahkan penyertaan dalam kontinjen negara di Paris 2024, yang bakal membuka tirainya Julai ini dan penampilan keduanya di temasya terbesar dunia berkenaan akan menjadi detik terbaik bagi membalas kekecewaan pada edisi sebelum ini Tokyo 2020.

Di Tokyo 2020, Shah Firdaus terbabit dalam satu kemalangan serius ketika menyertai saringan kedua acara keirin di Velodrom Izu dan 'detik hitam' itu dianggap sebagai satu motivasi untuknya terus memburu kilauan pingat terutama di Paris nanti.

"Saya sudah meletak sasaran itu sejak di Tokyo lagi. Seperti di Tokyo saya nampak kemampuan saya, saya boleh menang perlumbaan itu. Dalam keirin, semua ada peluang sama rata untuk menang.

"Kita sudah melihat dalam banyak perlumbaan di peringkat tinggi, (atlet) Colombia pun boleh menang (bukan pilihan) walaupun dalam saingan itu ada juara dunia, jadi keirin memang tak boleh dijangka.

"Apapun, saya percaya saya ada kemampuan itu (bersaing merebut penamat podium) dan saya sudah buktikan seperti di Kejohanan Piala Negara-Negara sebelum ini. Dari segi kemampuan saya percaya boleh, cuma dalam perlumbaan itu kita kena mengikut perancangan dan apa yang berlaku harus tepat pada masanya.

"Cuma kena sentiasa berhati-hati, terlalu yakin pun tak boleh juga kerana (pengalaman) di Piala Negara-Negara di Indonesia (tahun lalu) saya di final tetapi terbabit kemalangan dan di (Piala Negara-Negara) Mesir yang disertai pelumba ternama, saya boleh bersaing untuk podium. Jadi dari sudut kemampuan, saya rasa boleh," katanya.

Selain Shah Firdaus, turut berada dalam kem berbasikal trek negara ke Paris 2024 adalah Datuk Azizulhasni Awang dan pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Setakat ini, kontinjen negara ke Paris sudah disertai penerjun, Bertrand Rhodict Lises, Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Azizulhasni, Shah Firdaus, Nurul Izzah Izzati, pelumba lebuhraya wanita, Nur Aisyah Zubir dan dua pelayar, Khairulnizam Afendy dan Nur Shazrin Latif.

Berita Harian X