Ahad, 28 April 2024 | 4:27pm
Nor Farah Ain Abdulah (kanan) Izzat Shameer Dzulkepie cemerlang dalam kejohanan di Guernsey. - Foto World Bowls Indoor Championships Guernsey 2024
Nor Farah Ain Abdulah (kanan) Izzat Shameer Dzulkepie cemerlang dalam kejohanan di Guernsey. - Foto World Bowls Indoor Championships Guernsey 2024

Skuad boling padang juara di Guernsey

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad boling padang kebangsaan muncul juara keseluruhan Kejohanan Dunia Dalam Dewan 2024 di Guernsey dianggap sebagai satu pencapaian luar biasa buat Malaysia di pentas antarabangsa.

Skuad negara mengakhiri saingan dengan membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa sekali gus mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pencapaian terbaik negara di pentas kejohanan dunia.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz nyata berbangga dengan pencapaian dicapai pasukan meskipun mereka berdepan pelbagai rintangan dan cabaran sebelum tiba di Guernsey.

"Syukur kerana pencapaian begitu cemerlang dalam sejarah kita di peringkat dunia," kata Awalan.

"Sebelum ini tidak pernah berlaku yang kita muncul sebagai juara keseluruhan di kejohanan dunia."Pencapaian ini adalah hasil daripada kerja keras jurulatih dan atlet kerana mereka berdepan banyak cabaran.

"Pada hari raya kedua mereka sudah mula berlatih selain tersangkut di Dubai semasa berangkat ke Guernsey."

Atlet Malaysia Nor Farah Ain Abdullah berjaya meraih emas dalam acara individu wanita selepas menewaskan wakil dari Malta, Connie Nixon dengan keputusan 6-2, 6-3.

Malah atlet berusia 23 tahun itu turut membantu pasukan meraih gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple selepas tewas 2-9, 3-11 kepada Ray Pearse dan Samantha Atkinson dari Australia di separuh akhir.

Izzat Shameer juga menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya memasuki pentas final acara individu lelaki sebelum terpaksa akur tewas kepada wakil tuan rumah, Jason Greenslade 5-6, 3-9.

Berita Harian X