Ahad, 28 April 2024 | 12:23pm
Atlet basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri antara pelumba muda yang makin menyerlah di peringkat antarabangsa dan sudah layak ke Olimpik. - BERNAMA
Atlet basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri antara pelumba muda yang makin menyerlah di peringkat antarabangsa dan sudah layak ke Olimpik. - BERNAMA

Sukan berbasikal trek perlu jaringan lebih luas

KUALA LUMPUR: Sukan berbasikal trek negara dilihat harus mempunyai struktur jaringan yang lebih baik dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat yang mampu diketengahkan di peringkat antarabangsa.

Pandangan itu disuarakan jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang yang melihat ramai ibu bapa di negara ini yang berminat menceburkan anak mereka dalam arena berbasikal trek namun tidak berupaya merealisasikannya.

Ia berikutan kekurangan struktur jaringan yang baik seperti mana sukan lebih popular, bola sepak dan badminton.

"Di Malaysia ini, saya fikir bola sepak dan badminton sudah ada struktur mereka... ada jaringan yang mungkin tidak sempurna tetapi buat masa ini boleh dikatakan baik. Cuma basikal ini masih kurang jaringan itu.

"Mungkin di sesetengah tempat itu ada sistem berkenaan tetapi tak ada jaringan. Kalau saya menghadiri acara anjuran penaja yang ada ibu bapa, ada antara mereka yang tanya bagaimana kalau anak mereka nak jadi pelumba negara.

"Saya tak boleh jawab... kerana kalau seperti di Australia ada sistem berasaskan kelab. (Anak mereka) boleh menyertai kelab dan kelab akan bertanding di peringkat daerah kemudian kebangsaan dan sebagainya.

"Jadi ekosistem itu sudah ada tapi di sini masih kena banyak diperbaiki lagi. Harap di masa akan datang, ia menjadi sesuatu yang boleh dipertingkatkan lagi. Saya rasa kalau ada sistem jaringan itu, lagi mudah untuk cari bakat seterusnya dan juga untuk memperkembangkan lagi sukan ini.

"Lihat sahaja seperti bola sepak dan badminton, mereka ada ramai atlet kalau hendak dibandingkan dengan basikal... basikal boleh dikira dengan jari sahaja. Walaupun sebenarnya ramai yang minat dengan sukan berbasikal, ingin mewakili negara dan itu antara perkara yang perlu difikirkan pada masa depan," kata Azizulhasni.

Kontinjen negara ke Paris 2024 akan disertai tiga pelumba basikal trek negara iaitu Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan bakat baharu yang sedang menyinar, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Nurul Izzah mempunyai saiz fizikal kecil, berjaya mencipta kejutan selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada dengan sebelum itu wanita berusia 21 tahun berkenaan berjaya memenangi dua pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India pada Februari lalu.

Atlet dari Sungai Petani, Kedah itu memenangi emas dalam acara 500 meter (m) ujian masa dan keirin wanita sekali gus membuktikan saiz fizikal bukanlah menjadi penghalang untuk berjaya di pentas persaingan antarabangsa.

Untuk rekod juga, kejayaan Nurul Izzah yang diberikan julukan 'The Pocket Rocketwoman' ke Paris ini adalah penampilan pertamanya di temasya terbesar dunia itu sekali gus menyamai pencapaian bekas pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa yang pernah beraksi di Rio 2016.

"Saya rasa perlu (sistem jaringan) kerana kita boleh temui individu seperti Izzah. Shah lagilah... dia mempunyai fizikal yang lebih besar dan saya rasa semua sukan dia ceburi, boleh pergi jauh. Namun saya dan Izzah (mempunyai fizikal) kecil, tetapi tetap boleh pergi (memberikan saingan sehingga) ke tahap antarabangsa.

"Jadi saya rasa, di luar sana ramai lagi sebenarnya, cuma kita masih belum jumpa," kata Azizulhani yang dikenali dengan julukan 'The Pocket Rocketman' dan bakal membuat penampilan kelimanya di pentas Olimpik di Paris nanti.

"Bagi saya sendiri, saya mempunyai sasaran peribadi dan sudah pastinya emas. Bagi saya, saya menghormati keputusan dan perancangan pasukan, tidak kira apapun sasaran yang mereka letakkan.

"Apapun, bagi saya, saya mahu melengkapkan perjalanan saya di Sukan Olimpik iaitu dari pingat gangsa, perak dan (kemudian) emas," kata Azizulhasni yang sering memberikan motivasi dan berkongsi pengalaman dimilikinya bersama Nurul Izzah dan Shah Firdaus.

Dalam pada itu, Shah Firdaus bakal membuat penampilan keduanya di Olimpik selepas edisi Tokyo 2020 berakhir dengan kekecewaan termasuk insiden ngeri dalam saringan kedua acara keirin di Velodrom Izu, Tokyo, tiga tahun lalu.

"Dalam perlumbaan apapun boleh berlaku. Saya pun ada sasaran peribadi. Di Olimpik sebelum ini, terjadi sesuatu pada diri saya yang bagi saya semua atlet tak nak perkara sebegitu berlaku.

"Kalau saya terlalu memikirkan apa yang akan berlaku, perkara itu akan bertambah tak elok sehingga tidak boleh beraksi dengan baik. Jadi kali ini, saya akan buat seperti biasa, menikmati perlumbaan dan tengok bagaimana, tak mahu fikir apa yang akan berlaku.

"Kita ke sana, hanya berikan 100 peratus dan biar apapun keputusan, kita lihat sahaja nanti," kata Shah Firdaus.

Sukan berbasikal trek dijadual berlangsung di Velodrom Saint Quentin En Yvelines dari 5 hingga 11 Ogos ini.

Berita Harian X