Jumaat, 26 April 2024 | 8:57pm
Pelayar berpengalaman negara, Khairulnizam Mohd Afendy layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto FB Khairulnizam Mohd Afendy
Pelayar berpengalaman negara, Khairulnizam Mohd Afendy layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto FB Khairulnizam Mohd Afendy

Khairulnizam layak ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 bertambah apabila pelayar berpengalaman negara, Khairulnizam Afendy melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu selepas berada dalam kelompok tiga terbaik di kejohanan Last Chance Regatta yang berlangsung di Perancis, hari ini.

Khairulnizam, 31, menamatkan saingan berkenaan di tempat ketiga dalam kelas Single Handed Dinghy ILCA 7 untuk menempah slot Olimpik keempat buat dirinya, sekali gus bakal menemani seorang lagi pelayar negara yang sudah pun melayakkan diri, Nur Shazrin Latif di Paris, Julai ini.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu hantaran di Facebook rasmi hari ini mengesahkan perkara berkenaan.

"Dalam peluang terakhir Khairulnizam untuk menempah tempat ke Paris 2024, dia menjamin tempatnya dengan menduduki tempat ketiga di Last Chance Regatta 2024 di Hyeres, Perancis, yang menyaksikan dirinya menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara Single-Handed Dinghy ILCA 7 lelaki," kata MOM dalam hantaran berkenaan.

Khairulnizam mengumpul 63 mata untuk meraih slot kelayakan berkenaan dan di sampingnya, turut melayakkan diri adalah juara Sukan Asia dari Korea Selatan, Ha Jee Min selepas terikat di kedudukan pertama bersama wakil Estonia, Karl Martin Rammo, 43 mata.

Untuk rekod, penampilan Khairulnizam di pentas Olimpik ini adalah yang keempat selepas membuat kemunculan sulungnya di London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Khairulnizam bakal menyertai kontinjen yang buat masa ini turut disertai penerjun Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin, Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) dan tiga pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan pelumba lebuhraya wanita, Nur Aisyah Zubir.

Berita Harian X