Jumaat, 26 April 2024 | 5:44pm
Atlet berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pada sidang media di Velodrom Nasional hari ini. - BERNAMA
Atlet berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pada sidang media di Velodrom Nasional hari ini. - BERNAMA

Basikal W-XR tambah semangat Nurul Izzah Izzati

NILAI: 'The Pocket Rocketwoman', Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memperoleh khabar gembira menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 apabila bakal menerima basikal baharu W-XR, seperti yang digunakan dua seniornya, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Perkara itu diumumkan ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley dalam satu sidang media bersama pasukan berbasikal trek negara ke Paris 2024, di sini, hari ini dengan Nurul Izzah bakal membiasakan diri dengan basikal berkenaan dalam masa terdekat.

"Mengenai basikal itu, ia akan diperjelaskan secara lebih terperinci selepas ini kerana (kami) bercadang untuk membuat pelancaran. Izzah akan menggunakan WX-R dalam beberapa minggu lagi," kata Beasley.

Untuk rekod, Nurul Izzah, 20, menyambung legasi ditinggalkan bekas pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa yang pernah beraksi pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Nurul Izzah sebelum ini mencipta sensasi apabila berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, Februari lalu.

Pelumba itu turut merangkul perak dalam acara pecut berpasukan dan juga gangsa dalam acara pecut.

Dalam pada itu, Nurul Izzah sama sekali tidak menyangka yang Beasley akan mengumumkan khabar baik itu pada sesi media berkenaan.

"Saya tak jangka saya akan dapat basikal sama seperti mereka. Sudah tentu basikal baharu ini boleh menaikkan semangat saya kerana basikal itu sama seperti digunakan Datuk Azizulhasni sebelum ini.

"Saya pernah cuba basikal (WX-R), memang berbeza dan jauh lebih baik berbanding basikal digunakan saya sekarang ini," katanya yang akan beraksi dalam acara pecut dan keirin di Paris nanti.

Berita Harian X