Khamis, 25 April 2024 | 5:39pm
Nurul Izzah Izzati Mohd Asri ketika menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional. - NSTP/AZRUL EDHAM
Nurul Izzah Izzati Mohd Asri ketika menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional. - NSTP/AZRUL EDHAM

RTG sedia pertimbang Nurul Izzah Izzati sertai program Fast Track

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Road To Gold (RTG) bersedia untuk mempertimbangkan kemasukan pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam program Fast Track di bawah program berkenaan selepas layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengerusi bersama jawatankuasa RTG yang juga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyertaan atlet ke dalam program berkenaan sekiranya menepati kriteria ditetapkan.

"Saya ada melihat 'Tweet' Datuk Amarjit (Singh) yang mahu Nurul Izzah dimasukkan dalam program Fast Track. Saya juga melihat komen John Beasley (Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara) bahawa Nurul Izzah mempunyai masa depan yang cerah.

"Untuk kita dalam Jawatankuasa RTG, kita memang mengalu-alukan lebih ramai atlet berpotensi untuk menangkan pingat emas bukan sahaja di Paris tetapi juga di Los Angeles 2028 nanti.

"Setakat ini, kita ada skuasy dan terjun (dalam program Fast Track) dan kita akan mengadakan mesyuarat untuk mempertimbangkan, melihat kriteria kerana Jawatankuasa Road To Gold ini bukan menteri sahaja yang mempengerusikannya iaitu bersama Tan Sri Mohamad Norza (Zakaria) dan jawatankuasa itu akan buat keputusan.

"Untuk saya, hasrat saya adalah untuk melihat seramai mana yang boleh masuk (Fast Track) kerana kita nak lebih ramai atlet yang berpotensi membawa pulang pingat emas. Jadi ia bukan 'kelab eksklusif', sesiapa yang ada potensi (boleh disenaraikan) dan kita akan lihat kriteria dan mempertimbangkannya dalam masa terdekat," kata Hannah ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), hari ini.

Sebelum ini, Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Amarjit berharap Nurul Izzah dapat disenaraikan dalam program Fast Track bagi membantu mengembangkan sepenuhnya potensi pelumba berusia 21 tahun itu untuk mencabar pelumba terbaik dunia di Los Angeles 2028.

Setakat ini, program Fast Track disertai pemain skuasy Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman manakala sukan terjun disertai Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold.

Sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) memperkenalkan program Fast Track dalam misi memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) dan ia mendapat kerjasama dan diletakkan di bawah Jawatankuasa RTG.

Berita Harian X