Rabu, 24 April 2024 | 6:34pm
Pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menunjukkan pingat dimenanginya ketika beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India. - BERNAMA
Pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menunjukkan pingat dimenanginya ketika beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India. - BERNAMA

Olimpik Paris langkah permulaan buat Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menyifatkan kejayaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat kali pertama sebagai permulaan untuk dia mengorak langkah lebih jauh dalam kerjayanya.

Nurul Izzah, 20, yang berasal dari Kedah mencipta kejutan apabila berjaya mengesahkan tiket ke Olimpik Paris 2024 sekali gus menempatkan diri dalam kelompok sembilan atlet negara yang sudah melayakkan diri setakat ini.

Kejayaannya layak ke Paris itu menjadikan dia pelumba wanita kedua negara beraksi di Olimpik selepas Fatehah Mustapa beraksi dalam acara keirin di London 2012 dan pecut (Rio 2016).

Namun, Nur Izzah mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama layak beraksi dalam kedua-dua acara (keirin dan pecut).

Bagi Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman, pencapaiannya itu membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai sekali gus merealisasikan impiannya untuk beraksi di temasya terbesar dunia berkenaan.

"Saya menerima perkhabaran, bukan hanya impian saya tapi impian semua atlet untuk beraksi di Olimpik menjadi kenyataan.

"Satu langkah besar untuk saya apabila akan berada di barisan hadapan. Ini adalah permulaan untuk saya mengorak langkah ke depan. Masih banyak yang perlu saya pelajari dalam kerjaya ini.

"Namun, saya membuktikan tiada yang mustahil dan saiz bukan satu-satunya ukuran kejayaan," katanya yang berjanji akan terus bekerja keras bagi meningkatkan lagi prestasinya dalam usaha untuk bergelar jaguh dunia.

Nama Nurul Izzah mula menjadi sebutan apabila dia memenangi pingat emas acara 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2022 di New Delhi, India.

Ia disusuli dengan kejayaan memenangi dua pingat emas masing-masing acara keirin wanita dan 500m ujian masa pada ACC 2024 di New Delhi pada Februari lalu sekali gus menyamai pencapaian Fatehah yang meraih emas acara keirin wanita pada edisi 2012 di Kuala Lumpur.

Berita Harian X