Selasa, 23 April 2024 | 11:07am
Tiga pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang (tengah), Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kiri) dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri secara rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Tiga pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang (tengah), Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kiri) dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri secara rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Tiga pelumba basikal sah ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Tiga pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri secara rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill dalam satu kenyataan berkata, badan induk itu menerima pengesahan berhubung perkara berkenaan menerusi pemberitahuan rasmi daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), awal pagi tadi.

Katanya, UCI secara rasmi mengumumkan kuota perlumbaan trek itu kepada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) setiap negara.

"Kami berbangga dengan komposisi pasukan trek kita di Paris, apabila Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus layak bagi dua acara iaitu keirin dan pecut.

"Nurul Izzah juga akan membuat penampilan pertama dalam kedua-dua acara di temasya sukan terbesar dunia itu," kata Amarjit.

Jelasnya, Malaysia akan mempunyai empat wakil daripada sukan berbasikal masing-masing tiga dalam acara trek dan satu lebuh raya selepas Nur Aisyah Zubir muncul pelumba wanita pertama negara layak beraksi di Sukan Olimpik.

Minggu lalu, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI, memberitahu Azizul, Shah Firdaus dan Nurul Izzah secara tidak rasmi layak ke Paris, berdasarkan kedudukan ranking yang diumumkan UCI, selepas perlumbaan Piala Negara-Negara di Milton, Kanada.

Katanya, pasukan trek negara sudah merangka program latihan untuk tempoh tiga bulan menjelang temasya itu, bermula dengan latihan pusat di Velodrom Nilai sebelum beralih ke Eropah iaitu Belgium, Sepanyol dan England dan akhirnya terus menyertai perlumbaan di Paris yang dijadual pada 6 hingga 11 Ogos.

Dengan perkembangan terbaharu itu, sembilan atlet Malaysia secara rasmi layak ke Olimpik selepas penerjun, Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) sudah melayakkan diri lebih awal sebelum ini.

Berita Harian X