Ahad, 21 April 2024 | 1:19pm
Azizulhasni Awang (kiri), dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri
Azizulhasni Awang (kiri), dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri

Nurul Izzah mampu ikut jejak saya - Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang percaya pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memiliki potensi untuk mengikut jejak langkahnya bergelar antara pelumba terbaik dunia.

Azizulhasni, 36, yang diberi julukan The Pocket Rocketman, berkata perjalanan kerjaya Nurul Izzah yang berusia 21 tahun hampir sama dengan permulaan ketika dia bergelar atlet kebangsaan, bertubuh kecil dan berasal dari kampung.

Katanya, dia sudah dapat melihat keunikan bakat dimiliki Nurul Izzah dan semangat juangnya yang tinggi sejak dari peringkat awal lagi.

"Nurul Izzah mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam sukan ini. Saya sudah nampak keunikan bakatnya dan juga kelainan semangat yang dia ada sejak peringkat awal lagi.

"Ada sesetengah pihak cakap yang saiz dia kecil dan susah untuk pergi jauh. Namun, saya bersyukur akhirnya dia dapat masuk ke program kebangsaan.

"Cerita kami hampir sama pada waktu permulaan. Berasal dari kampung dan saiz pun kecil berbanding atlet kebiasaan. Kemahuan tinggi Izzah membuatkan dia terus dapat meningkatkan prestasi dan sentiasa dahaga mengejar kejayaan.

"Sebagai contoh, ACC (Kejohanan Berbasikal Trek Asia) di India, dia melakarkan sejarah apabila menang pingat emas (dua emas) di sana," kata Azizulhasni kepada BH Sukan.

Pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, berkata pencapaian Nurul Izzah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 adalah sesuatu yang membanggakan.

"Ketika orang ramai sibuk meletakkan harapan kepada atlet muda lain untuk layak ke Olimpik, Nurul Izzah membuat kejutan untuk layak seawal usia 21 tahun.

"Untuk layak ke Sukan Olimpik seawal usia ini adalah satu pencapaian yang sangat besar dan menunjukkan yang Nurul Izzah boleh pergi jauh.

"Sukan lumba basikal antara yang paling susah dan rumit proses kelayakan ke Olimpik.

"Saya layak ke Olimpik pada usia 20 tahun di Beijing dan lihat di mana saya berada pada hari ini dan saya harap Nurul Izzah juga dapat mengikut jejak langkah saya serta harap dia dapat buat lebih baik daripada itu," katanya.

Azizulhasni, Nurul Izzah dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom secara tidak rasminya sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris untuk acara keirin dan pecut individu.

Senarai rasmi pelumba yang layak dijangka dikeluarkan esok.

Berita Harian X