Sabtu, 20 April 2024 | 6:31pm
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal (dua, kiri pada sidang media selepas perasmian Liga Hoki Selangor TNB QNET 2024 di Menara Qi hari ini. - Foto Bernama
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal (dua, kiri pada sidang media selepas perasmian Liga Hoki Selangor TNB QNET 2024 di Menara Qi hari ini. - Foto Bernama

KHM lantik empat jurulatih tambahan

PETALING JAYA: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bakal melantik empat jurulatih tambahan bagi membantu ketua jurulatih skuad kebangsaan Sarjit Singh mengendalikan skuad remaja negara pada masa akan datang.

Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata keputusan memilih empat pembantu jurulatih itu akan dibuat oleh Sarjit bersama barisan jawatankuasa kejurulatihan dan bakal diketahui awal Mei ini.

"Saya sudah maklumkan kepada Sarjit bahawa tiada jurulatih khusus untuk pasukan remaja dan dia juga akan diberikan tugas memantau pasukan berkenaan.

"Sekarang kita ada empat jurulatih termasuk Sarjit untuk bantu pasukan senior dan kita juga akan tambah empat lagi pembantu jurulatih untuk pasukan remaja," katanya kepada pemberita pada majlis Pelancaran Liga Hoki Selangor TNB-QNET di sini hari ini.

Dalam pada itu, Subahan berkata pemilihan jurulatih ini adalah untuk membentuk skuad Young Tigers berwajah baharu di samping untuk membimbing pasukan negara menjelang Piala Dunia Remaja pada hujung tahun ini.

Buat masa ini, Sarjit dibantu oleh Mohamad Sukri selaku penolong jurulatih bersama Azrul Effendy selain jurulatih penjaga gol S. Kumar. - BERNAMA

Berita Harian X