Sabtu, 20 April 2024 | 4:49pm
Hoe Yan perbaharui rekod kebangsaan acara 800 meter gaya bebas di Terbuka Australia.
Hoe Yan perbaharui rekod kebangsaan acara 800 meter gaya bebas di Terbuka Australia.

Hoe Yan cipta rekod lagi di Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Perenang meningkat naik negara, Khiew Hoe Yan terus mempamerkan peningkatan prestasi apabila memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara 800 meter (m) gaya bebas di Terbuka Australia.

Hoe Yan, 21, mencatat masa 8 minit 01.30 saat (s) untuk mengakhiri saingan di tempat keenam, memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 8:02.78s yang dilakukan ketika Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, dua bulan lalu.

Pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2024, Elijah Winnington dari Australia mengungguli saingan dengan catatan 7:43.08s, mengatasi rakan senegara, Sam Short yang berada di kedudukan kedua dengan 7:43.98s.

Juara dunia 400m gaya bebas dari Korea Selatan, Kim Woo-min meraih pingat gangsa dengan catatan 7:49.69s.

Sebelum ini, Hoe Yan turut melakar satu lagi rekod baharu kebangsaan di Australia dalam acara 400m gaya bebas, dua hari lalu.

Dia mencatat masa 3:48.36s untuk menduduki tempat keempat, memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 3:48.72s yang dilakukan ketika Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary.

"Saya gembira dapat memperbaharui dua rekod kebangsaan di Australia. Saya akan terus bekerja keras dalam latihan bagi memperbaiki catatan masa saya," kata Hoe Yan.

Catatan masa dilakukan Hoe Yan dalam acara 800m gaya bebas itu bagaimanapun masih belum cukup untuk melayakkan dirinya ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang mana dia perlu mencatat 7:51.65s.

Dia masih ada masa untuk melakukannya sebelum tarikh tutup kelayakan pada 23 Jun depan.

Berita Harian X