Jumaat, 19 April 2024 | 11:26pm
Barisan atlet Universiti Teknologi MARA yang akan bertanding pada Karnival Sukan MASUM 2024 bulan ini dan bulan depan.
Barisan atlet Universiti Teknologi MARA yang akan bertanding pada Karnival Sukan MASUM 2024 bulan ini dan bulan depan.

UiTM optimis kekal kejuaraan

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) melontarkan keyakinan untuk mengekalkan kejuaraan mereka pada Karnival Sukan MASUM 2024 Fasa 1 hujung bulan ini dan Fasa 2 pada awal bulan depan.

Pengarah Pusat Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohammed optimis sasaran itu dapat dicapai selepas persiapan rapi dilakukan oleh atlet UiTM yang jelas menunjukkan semangat tinggi untuk berentap pada karnival Fasa 1 di Universiti Malaysia Sabah disusuli Fasa 2 di Universiti Malaya.

"Atlet kami menunjukkan semangat yang tinggi apabila sudah memulakan latihan sebelum bulan Ramadan dan dalam sepanjang bulan Ramadan tanpa gagal.

"UiTM juga sedia maklum Karnival Sukan MASUM Fasa 1 akan diadakan seawal bulan Syawal dan kekangan yang dihadapi oleh atlet adalah mereka menjalani sesi pembelajaran secara atas talian pada bulan puasa di rumah.

"Oleh itu, UiTM mengambil inisiatif untuk menyediakan penginapan atlet di UiTM bagi memudahkan atlet kami tinggal di UiTM dan menjalani latihan di sini sambil meneruskan pembelajaran secara dalam talian," katanya.

Sebanyak tujuh sukan akan dipertandingkan pada Fasa 1 membabitkan 70 pingat emas yang boleh direbut iaitu silat, bola tampar pantai, taekwondo, petanque, memanah, pingpong dan catur.

Berita Harian X