Jumaat, 19 April 2024 | 5:41pm
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semasa sidang media mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. - BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semasa sidang media mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. - BERNAMA

Hannah minta kerajaan negeri beri peruntukan lebih besar untuk sukan

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru supaya Menteri Besar setiap negeri memberi peruntukan yang lebih besar kepada portfolio sukan bagi menggalakkan pembangunan sukan di setiap peringkat negeri.

Beliau berkata, ia penting bagi mengelak timbul masalah dalam pembangunan atlet sehingga ada acara sukan yang terpaksa digugurkan di Sukan Malaysia (SUKMA) kerana tidak cukup penyertaan.

"Sebab itu untuk satu-satu sukan itu berjaya, bukan saja perlukan penglibatan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk masuk ke Program Podium atau Elit, namun peringkat akar umbi perlukan penglibatan kerajaan negeri.

"Jadi saya minta Menteri Besar, dalam perancangan bajet mereka, pastikan portfolio (sukan) jangan kita anak tirikan. Kalau kita lihat, ada kes di mana negeri-negeri kecil bajet (sukan) mereka tak sampai RM500,000 pun.

"Bagaimana nak buat pembangunan atlet dan pembangunan sukan jika mereka (kerajaan negeri) tidak melabur," katanya pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan, di sini, hari ini.

Menurut Hannah, kadangkala pihaknya berdepan kesukaran untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri terutama dalam soal pembangunan fasiliti sukan yang dilihat cukup penting.

"Contohnya, bila kita hendak bantu bangunkan fasiliti kolam renang yang memerlukan penglibatan kerajaan negeri, mereka kata jangan bina kerana kos selenggara mahal.

"Isu seperti inilah yang kami hadapi. Jadi walaupun sukan itu penting, mereka (kerajaan negeri) tak nak terima. Mereka akan lihat dan mempromosi sukan yang senang dijaga.

"Satu lagi contoh geran naik taraf padang untuk liga, ada juga negeri yang tak terima kerana mungkin masanya tak sesuai, tapi saya lihat negeri kena proaktif.

"Program skrin besar pula, kita minta negeri beli skrin besar kerana ia adalah salah satu capaian kepada sukan, tapi itu pun ada negeri yang minta kita bagi duit beli skrin besar," katanya.

Berita Harian X