Rabu, 17 April 2024 | 9:35pm
Pengerusi penganjur, Ezani Abu Bakar (dua kanan) dan Setiausaha Agung MGA, Datuk Zulkifli Ismail bersama jawatankuasa penganjur mempamerkan piala yang bakal menjadi rebutan pada Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel di RSGC Kuala Lumpur hari ini.
Pengerusi penganjur, Ezani Abu Bakar (dua kanan) dan Setiausaha Agung MGA, Datuk Zulkifli Ismail bersama jawatankuasa penganjur mempamerkan piala yang bakal menjadi rebutan pada Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel di RSGC Kuala Lumpur hari ini.

90 pemain bakal sertai Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel

KUALA LUMPUR: Seramai 90 pemain dijangka menyertai Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel 2024 di Royal Selangor Golf Club (RSGC) di sini, pada 14 hingga 16 Mei ini.

Pengerusi penganjur, Ezani Abu Bakar berkata setakat ini 65 pemain termasuk luar negara sudah mengesahkan tempat menyertai kejohanan berprestij yang memasuki edisi kesembilan itu.

Menurutnya, antara pemain asing yang sudah mengesahkan tempat adalah daripada Singapura, Indonesia, India, Australia, Britain dan Korea Selatan.

Katanya, seramai 19 pemain remaja kebangsaan daripada Program Pembangunan Remaja Persatuan Golf Malaysia (MGA) juga sudah mengesahkan penyertaan manakala jemputan turut diperpanjangkan kepada pemain elit Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) dan pemain terbaik serantau.

"Kami jangkakan lebih ramai pemain akan mendaftar selepas ini terutamanya dari rantau Indo-China dan Thailand kerana kejohanan ini mendapat pengiktirafan Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR)," katanya pada sidang media di RSGC di sini, hari ini.

Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel yang dianjurkan RSGC dengan kerjasama SportExcel, diiktiraf MGA dan Suruhanjaya Sukan Malaysia.

Ezani yang juga Pengerusi Golf RSGC berkata Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel kali ini mempertandingkan empat kategori iaitu 16 hingga dan 18 tahun serta bawah 15 tahun lelaki dan perempuan.

Katanya, pemain lelaki dan perempuan terbaik negara layak beraksi pada kejohanan remaja serantau di Asia Tenggara dengan kos termasuk penginapan dan tiket penerbangan dibiayai penganjur.

Berita Harian X