Rabu, 17 April 2024 | 8:37pm
Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh (kanan) bersama pemain ketika sesi latihan skuad hoki lelaki di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh (kanan) bersama pemain ketika sesi latihan skuad hoki lelaki di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Skuad Speedy Tigers persiap taktikal

KUALA LUMPUR: Persiapan skuad senior lelaki negara kini memasuki fasa terakhir dengan 18 pemain bakal membawa cabaran di kempen Piala Sultan Azlan Shah (Piala SAS) di Ipoh, Perak dari 4 hingga 11 Mei ini.

Pada masa ini, kem hoki negara sedang berada dalam fasa yang memberikan penekanan pemahaman taktikal seperti yang direncanakan barisan kejurulatihan diketuai pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh.

Bagi memantapkan lagi pasukan, pasukan juga bakal mengharungi dua aksi persahabatan iaitu menentang New Zealand pada 1 Mei dan Korea Selatan (2 Mei) di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah dengan Sarjit memaklumkan senarai penuh 18 pemain akan diumumkan selepas berakhirnya perlawanan bertemu New Zealand nanti.

"Seperti saya katakan sebelum ini, setiap pemain ada peluang untuk bersaing merebut tempat dalam senarai 18 pemain dan dua pemain lagi dalam senarai menunggu sekiranya berlaku kecederaan pada saat akhir.

"Mereka (pemain) tahu bukannya senang daripada 30 menjadi sebahagian daripada 18 pemain, saya sendiri berasa susah nak pilih mereka nanti.

"Saya cuma berharap pemilihan pemain yang dibuat oleh saya dan barisan kejurulatihan nanti adalah pilihan yang tepat untuk menghadapi kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh nanti," katanya.

Skuad Speedy Tigers dijadual tiba di Ipoh pada 28 April ini untuk memulakan kembali sesi latihan selepas berehat sementara selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 April.

Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, selain Korea Selatan dan New Zealand, skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan turut bersaing menentang Kanada, Jepun dan Pakistan.

Daripada 30 pemain yang berada dalam fasa kedua kem latihan negara, empat pemain senior turut berusaha gigih bagi merebut tempat dalam senarai 18 pemain terakhir iaitu Fitri Saari, Marhan Jalil, Faizal Saari dan Hafizuddin Othman.

Sarjit berkata, keempat-empat pemain senior itu perlu menunjukkan prestasi terbaik dalam sesi latihan dan keberadaan mereka dalam pasukan mampu memberi bimbingan terbaik kepada pemain muda.

"Kita ingin membina pasukan di sekeliling empat (Faizal, Fitri, Hafizuddin dan Marhan) pemain senior ini, mereka boleh membantu pemain muda ini dengan cara membimbing mereka," katanya.

Berita Harian X