Selasa, 16 April 2024 | 9:44pm
Pemenang lima kategori saingan pusingan kelayakan Wilayah Persekutuan sebelum ini. - Foto ihsan PNAGS
Pemenang lima kategori saingan pusingan kelayakan Wilayah Persekutuan sebelum ini. - Foto ihsan PNAGS

Saingan golf PNAGS 2024 kembali hangatkan saingan

KUALA LUMPUR: Selepas berehat sepanjang Ramadan, saingan Siri Golf Nasional PERODUA (PNAGS) 2024 kembali semula bulan ini dengan Johor dan Melaka menjadi tuan rumah.

Pusingan kelayakan di Johor akan diadakan di Palm Resort Golf & Country Club pada Khamis ini manakala di Melaka pada 25 April di Ayer Keroh Golf & Country Club.

Sebelum ini, pusingan kelayakan bagi Wilayah Persekutuan dan Selangor masing-masing diadakan The Mines Resort & Golf Club pada 29 Februari lalu dan Kelab Golf Seri Selangor, (7 Mac)

Kedua-dua pusingan kelayakan ini berjaya mencatatkan rekod dengan penyertaan 116 pemain bagi setiap saingan.

Pengerusi Penganjur, Lokman Ishak berkata PNAGS 2024 adalah satu-satunya pertandingan golf di negara ini yang memberikan peluang kepada pemain amatur golf tempatan mengasah bakat dan berdepan saingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, pemenang bagi setiap pusingan mengikut lima kategori handicap dipertandingkan, bakal mewakili negeri masing-masing pada saingan Pusingan Akhir Kebangsaan di Forest City Golf Resort, Johor pada 8 hingga10 September ini.

"Lima juara kebangsaan bagi setiap kategori ini pula akan mewakili negara pada pusingan final Kejohanan Golf Amatur Dunia Akhir Dunia (WAGC) di Laguna Phuket, Thailand pada 25 Oktober hingga 2 November.

"Pada edisi ke-28 di Laguna Phuket kelak, pemain kita akan mengalas cabaran berdepan cabaran pemain-pemain daripada 40 negara seluruh dunia.

"Ini adalah peluang yang besar bagi pemain amatur untuk menunjukkan kebolehan mereka di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan.

Saingan PNAGS diiktiraf oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Kementerian Belia dan Sukan. Ia turut mendapat sokongan Tourism Malaysia manakala PERODUA selaku penaja utama.

Pada pusingan kelayakan Wilayah Persekutuan di Mines Resort & Country Club sebelum ini, kategori A dimenangi Ahmad Sharul Anuar Shafie manakala kategori B milik Nor Azhar Mohamad Noor.

Kategori C pula dimenangi Muhammad Haniff Abu Bakar manakala kategori D dan E msing-masing dikuasai Dr Ahamd Zaki dan Abu Hurairah.

Mohd Faizal Hadzmi pula mencipta nama apabila melakukan `hole-in-one' atau selubang pada lubang lima dari jarak 155 meter.

Pada pusingan kelayakan di Kelab Golf Seri Selangor, pemain muda Raja Nor Aiman Sufi muncul pemenang kategori A manakala kategori milik Eric Chin .

Kategori C pula dikuasai Hasnata Hassan manakala kategori D dan E dimenangi masing-masing oleh Ismail Karsin dan K Selvarajah.

Berita Harian X