Selasa, 16 April 2024 | 4:18pm
Nurul Izzah ditemubual selepas tiba dari Kanada di KLIA, hari ini. - Foto Helmi Talkah
Nurul Izzah ditemubual selepas tiba dari Kanada di KLIA, hari ini. - Foto Helmi Talkah

Layak ke Paris hadiah Aidilfitri Nurul Izzah

SEPANG: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menyifatkan kejayaan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Walaupun terpaksa menyambutnya di perantauan apabila beraksi dalam perlumbaan Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada, dia menganggap pengorbanan itu berbaloi dengan kejayaan layak kali pertama ke temasya terbesar dunia berkenaan.

Pelumba berusia 21 tahun itu yang diberikan julukan The Pocket Rocketwoman, berkata dia sendiri tidak menjangka mampu layak ke Paris ketika fokus lebih terarah kepada Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

"Raya kali ini memang istimewa buat saya, kira terubatlah (pengorbanan beraya di luar negara)... pergi tak kosong, ada hasil yang dibawa pulang biarpun saya menamatkan saingan keirin di tempat kelapan.

"Sebelum ini saya tidak pernah melepasi pusingan pertama untuk keirin. Jadi, ini satu pencapaian yang besar untuk saya," kata Nurul Izzah ketika ditemui sebaik dari Milton di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, semalam memaklumkan Nurul Izzah bersama dua lagi pelumba lelaki, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom secara tidak rasminya sudah melayakkan diri ke Olimpik Paris bagi acara pecut dan keirin.

Nurul Izzah layak selepas menghasilkan keputusan positif pada perlumbaan di Milton.

Dia tewas di tangan Luz Daniela Gaxiola Gonzalez dari Mexico di pusingan pertama acara pecut individu tetapi bangkit untuk menamatkan saingan di tempat kelapan dalam acara keirin.

Kejayaannya layak ke Paris itu menjadikan dia pelumba wanita kedua negara beraksi di Olimpik selepas Fatehah Mustapa beraksi dalam acara keirin di London 2012 dan pecut (Rio 2016).

Namun, Nur Izzah mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama layak beraksi dalam kedua-dua acara (keirin dan pecut).

Sementara itu, ketua jurulatih skuad berbasikal negara, John Beasley, berkata aksi di Olimpik Paris akan menjadi persiapan terbaik buat Nurul Izzah untuk menghadapi Sukan Olimpik 2028.

"Dia adalah untuk projek LA 2028, dia akan pergi ke Olimpik Paris untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman. Dia adalah pelumba yang sangat berpotensi.

"Dia berada pada usia yang sama dengan Datuk Azizulhasni ketika mula mencipta nama.

"Mereka hampir sama, bertubuh kecil dan eksplosif. Kami memberikan dia pendedahan yang diperlukan dan ia kini sudah mula membuahkan hasil yang positif.

"Tiada harapan besar untuk Izzah di Paris, jika dia dapat pingat ia sesuatu yang hebat tetapi sasaran utama kami adalah Olimpik 2028," kata Beasley.

Berita Harian X