Selasa, 9 April 2024 | 3:14pm
Muhammad Izzul Irfan Marzuki meraikan kemenangan selepas berjaya mengalahkan pesilat dari Indonesia di Sukan SEA Kemboja 2023. Foto: Gambar fail NSTP/FATHIL ASRI
Muhammad Izzul Irfan Marzuki meraikan kemenangan selepas berjaya mengalahkan pesilat dari Indonesia di Sukan SEA Kemboja 2023. Foto: Gambar fail NSTP/FATHIL ASRI

Projek serampang dua mata Izzul

KUALA LUMPUR: Muhammad Izzul Irfan Marzuki mempunyai dua misi utama dalam tempoh dua tahun ini iaitu meraih gelaran dunia sulung dalam kariernya dan juga mengekalkan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025.

Izzul yang meraih emas dalam kelas putra bawah 65 kilogram (kg) di Sukan SEA Kemboja tahun lalu berkata, sasaran peribadinya adalah cuba mendapatkan kilauan pingat tertinggi itu di Kejuaraan Dunia di Jakarta, Indonesia pada hujung tahun ini dan kemudian memberi tumpuan kepada temasya di Thailand.

"Sasaran peribadi saya. Untuk Kejuaraan Dunia dan juga Sukan SEA tentunya mahu mendapatkan pingat emas. Untuk Kejuaraan Dunia, saya belum pernah dapat lagi (pingat emas)... tapi untuk Sukan SEA, InsyaAllah saya akan kekalkan kilauan pingat emas.

"Tekanan itu ada (untuk raih emas di Sukan SEA Thailand) namun apa yang penting terus berlatih, kekal fokus dan dengar arahan diberikan jurulatih," kata Izzul.

Di Sukan SEA Kemboja lalu, pesilat berusia 23 tahun itu menewaskan lawan dari Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada 39-33 pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar untuk melakar kilauan emas diimpikan.

Begitupun impiannya untuk meraih emas sulung di Kejuaraan Dunia di Melaka tahun lalu bagaimanapun tidak berhasil apabila ditewaskan lawan dari Thailand.

"Selepas raya nanti, kami akan menjalani kem latihan di Bali, Indonesia selain mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Indonesia. Selepas itu, menyertai Terbuka Probowo di Uzbekistan pula," katanya.

Berita Harian X