Selasa, 9 April 2024 | 3:04pm
Pengarah ADAMAS, Azura Bidin. Foto: KBS
Pengarah ADAMAS, Azura Bidin. Foto: KBS

Sekitar 400 sampel akan diambil ADAMAS sebelum SUKMA Sarawak bermula

KUALA LUMPUR: Lebih kurang 400 sampel akan diambil Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 membuka tirainya pada Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Azura Bidin yang turut menyatakan sampel berkenaan akan diambil daripada atlet dari sukan berisiko tinggi seperti angkat berat.

"Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal baru-baru ini, mesyuarat bersetuju ADAMAS membuat saringan khas untuk atlet angkat berat, sama seperti dilakukan sebelum ini di Kuala Lumpur (SUKMA KL 2022).

"Kita tak akan dedahkan bila akan buat tetapi pastinya sebelum SUKMA (Ogos). Dalam masa sama, kita juga akan buat siri pendidikan terutama di lokasi utama venue seperti di Kuching.

"Kita sasarkan lebih kurang 400 sampel akan diambil sebelum SUKMA bermula yang akan membabitkan sukan berisiko tinggi, sama seperti sebelum ini," kata Azura yang turut memaklumkan pihak penganjur dan juga ADAMAS mengharapkan temasya kali ini bebas doping.

"Memang hasrat kami adalah untuk 'zero doping' pada SUKMA kali ini dan Sarawak pun berhasrat menjadi penganjur paling berjaya bukan sahaja dari segi penganjuran tetapi juga dari segi pencapaian atlet.

"Jadi kami menggalakkan semua negeri datang dan bertanding secara bersih. Harap kali ini, 'zero doping'. Apa pun kita tak boleh jamin tetapi sering memperingati mereka," kata Azura.

Pada edisi 2022, sebanyak lima kes doping dikesan sebelum dan semasa pertandingan dengan kesemuanya membabitkan sukan angkat berat.

Pada ketika temasya berlangsung, sukan berat hampir tidak dipertandingkan selepas Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bertindak menarik diri daripada mengendalikan temasya berkenaan susulan kes doping yang sering menghantui sukan berkenaan.

Ia susulan tiga atlet berat terbabit dengan doping sebelum temasya bermula namun pihak sekretariat SUKMA 2022 di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan untuk tetap mempertandingkan sukan angkat berat biarpun tanpa pembabitan PABM yang menyaksikan semua rekod yang dicipta di temasya berkenaan tidak diiktiraf.

Berita Harian X