Jumaat, 5 April 2024 | 5:34pm
Pelumba basikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri. - NSTP/AZRUL EDHAM
Pelumba basikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri. - NSTP/AZRUL EDHAM

Persembahan baik di Milton boleh bawa Nurul Izzah ke Paris

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berpeluang untuk berkayuh di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, dia yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman perlu menghasilkan keputusan positif pada perlumbaan Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada dari 12 hingga 14 April ini.

Malaysia ketika ini berada di ranking ke-14 dalam acara keirin dengan 2254.5 mata, yang tertinggi dalam kalangan tujuh negara yang tidak layak bagi acara pecut berpasukan.

Bagaimanapun, Malaysia diekori rapat Sepanyol yang berada di kedudukan ke-15 (2185 mata) diikuti Hong Kong ke-16 (2176 mata) dan Republik Czech ke-17 (2173 mata) dan Poland ke-18 (2166 mata).

Slot akhir Olimpik akan ditentukan selepas tamat perlumbaan di Milton.

Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, berkata biarpun sukar namun tiada apa yang mustahil buat Nurul Izzah untuk membuat penampilan sulung di temasya Olimpik.

"Nurul Izzah sedang berusaha untuk layak melalui acara keirin, kami perlu berada dalam kedudukan tujuh teratas untuk kuota kelayakan Olimpik, perlumbaan di Milton adalah pusingan kelayakan terakhir.

"Dia perlu menamatkan saingan di depan Sepanyol, Republik Czech, Hong Kong, jika dia berada di depan mereka dia akan layak ke Olimpik Paris," kata Beasley.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai wakil wanita dalam berbasikal trek di pentas Olimpik adalah menerusi Fatehah Mustapa yang beraksi pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Nurul Izzah sebelum ini mencipta sensasi apabila dia berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, Februari lalu.

Pelumba itu turut merangkul perak dalam acara pecut berpasukan dan juga gangsa dalam acara pecut.

Berita Harian X