Jumaat, 5 April 2024 | 4:36pm
Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan. - NSTP/ASWADI ALIAS
Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan. - NSTP/ASWADI ALIAS

3 bulan persiap diri cari pingat Olimpik

KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan enggan pulang dengan tangan kosong pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Badang berusia 21 tahun itu menyasarkan untuk sekurang-kurangnya memenangi pingat di temasya berkenaan.

Katanya, ia bukan sesuatu yang mustahil jika dia terus bekerja keras dalam baki tiga bulan sebelum temasya di Paris membuka tirainya dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

"Saya akan buat persiapan rapi untuk menghadapi Olimpik kali ini. Saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai program latihan saya selepas ini, apa yang saya perlu pertingkatkan lagi.

"Walaupun ini adalah kali pertama saya beraksi di Olimpik tetapi saya menyasarkan untuk sekurang-kurangnya memenangi pingat. Saya akan cuba buat yang terbaik," kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu.

Aniq menepati ramalan apabila mengesahkan tiket secara merit ke Olimpik Paris selepas berada di kedudukan kelapan ranking kelayakan menerusi angkatan keseluruhan 296 kilogram (kg) dalam kategori 61kg.

Sebagai rekod, kali terakhir angkat berat berada dalam kontinjen negara ke temasya terbesar dunia itu adalah di Olimpik Rio 2016 dalam kategori 69kg menerusi Mohd Hafifi Mansor.

Mengulas lanjut, Aniq berkata bagi merealisasikan impiannya untuk membawa pulang pingat dari Paris, dia perlu sekurang-kurangnya mengangkat bebanan keseluruhan 305kg.

Catatan terbaik 296kg yang dimiliki Aniq ketika ini sudah mengatasi rekod pemenang gangsa Olimpik Tokyo 2020 dari Kazakhstan, Igor Son yang melakukan angkatan 294kg.

"Saya perlu melakukan angkatan keseluruhan 305kg untuk menjadi pencabar pingat di Olimpik nanti.

"Ia bukan mudah tetapi saya percaya boleh melakukannya jika saya bekerja keras dalam latihan dan mengikut apa perancangan daripada jurulatih," katanya.

Berita Harian X