Khamis, 4 April 2024 | 9:35pm
MSN menegaskan siasatan menyeluruh sudah dilakukan ke atas jurulatih yang didakwa terbabit kes salah laku seksual.
MSN menegaskan siasatan menyeluruh sudah dilakukan ke atas jurulatih yang didakwa terbabit kes salah laku seksual.

MSN pertahan keputusan benarkan jurulatih dikaitkan kes seksual kembali bertugas

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan bahawa proses siasatan menyeluruh dan terperinci sudah dilakukan berhubung kes salah laku seksual membabitkan jurulatih para renang negara dan keputusan membenarkannya kembali meneruskan tugas adalah tepat.

MSN dalam satu kenyataan, hari ini berkata keputusan itu dibuat setelah hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS) MSN mendapati tiada bukti menyokong dakwaan berkenaan.

"Sebagai makluman, Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan MSN telah menemubual 11 saksi dan meneliti keterangan dalam dokumen-dokumen berkaitan sebelum mencapai keputusan berkenaan.

"Adalah menjadi komitmen MSN untuk sentiasa mengutamakan persekitaran selamat kepada semua pihak yang terbabit dalam program latihan kendalian MSN dan MSN tidak pernah berkompromi dengan sebarang perlakuan yang memudaratkan atlet-atlet negara," katanya.

Pada masa sama, MSN mengingatkan semua pihak bahawa kesejahteraan mental dan fizikal atlet-atlet dan jurulatih perlu sentiasa diutamakan dan sebarang dakwaan tanpa mengemukakan bukti-bukti mampu menjejaskan mereka yang dalam persiapan untuk menghadapi temasya sukan utama dunia.

MSN sebelum ini memaklumkan dakwaan aduan salah laku seksual membabitkan jurulatih para renang negara seperti yang dilaporkan media sebelum ini kini diklasifikasikan sebagai 'No Further Action' (Tiada Tindakan Lanjut).

Ini selepas polis yang melakukan siasatan pada 26 Mac lalu memaklumkan kepada MSN bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut kerana tiada bukti yang menyokong dakwaan berkenaan.

MSN turut memutuskan supaya jurulatih berkenaan dibenarkan kembali untuk melatih perenang para negara yang sedang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Berita Harian X