Khamis, 4 April 2024 | 3:01pm
Iruan (kiri) bersama Supawit (tengah) dan Timbalan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.
Iruan (kiri) bersama Supawit (tengah) dan Timbalan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.

PTM tagih magis Supawit

KUALA LUMPUR: Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) menagih sentuhan jurulatih dari Thailand, Supawit Charoensook bagi membantu petinju negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden PTM, Datuk Iruan Zulkefli, berkata badan induk itu melantik Supawit sebagai jurulatih baharu skuad negara dengan kontrak dua tahun.

Katanya, kehadiran Supawit dapat memberi impak buat atlet negara terutama Mohd Aswan Che Azmi dan Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin yang akan beraksi di Kejohanan Kelayakan Tinju Dunia Road To Paris di Bangkok dari 25 Mei hingga 2 Jun ini.

"Pelantikan Supawit ini adalah dengan kerjasama Persatuan Tinju Thailand selepas kita lihat perkembangan tinju di Thailand amat mengagumkan.

"Jadi kita nak ilmu daripada mereka. Cara latihan dan apa yang mereka buat sehingga dapat membawa atlet mereka meraih kejayaan di pentas Olimpik, Asia apatah lagi di Sukan SEA.

"Dia sudah lama menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Thailand dan cukup faham strategi dan latihan atlet Thailand.

"Pengalaman itulah yang kita ditagih dan selepas dia tiba 10 hari lalu, saya nampak ada keserasian dalam teknik dan pendekatan yang digunakan untuk atlet negara," katanya.

Jelas Iruan, bagi mengesahkan tempat ke Olimpik Paris, petinju negara perlu melayakkan diri ke pentas akhir dalam kategori masing-masing.

Pada kejohanan kelayakan terakhir itu, PTM akan menghantar empat petinju yang mana selain Qaiyum yang beraksi dalam 46-51 kilogram (kg), Aswan (63.5-71kg) dua petinju lagi akan ditentukan oleh Supawit.

Berita Harian X