Rabu, 3 April 2024 | 7:15pm
Singapura menolak tawaran untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026. – Foto AFP
Singapura menolak tawaran untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026. – Foto AFP

Singapura tolak anjur Sukan Komanwel 2026

SINGAPURA: Singapura memutuskan untuk tidak membuat sebarang tawaran sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026, menurut laporan media tempatan.

The Straits Times melaporkan Sukan Komanwel Singapura (CGS) dan Majlis Sukan Singapura (SportSG) dalam satu kenyataan bersama berkata mereka sudah mengkaji kemungkinan menganjurkan temasya itu dan membuat keputusan berkenaan.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) semasa perhimpunan agungnya pada November 2023 menjemput semua ahli persatuan, termasuk Singapura untuk menyatakan minat bagi menganjurkan Sukan Komanwel 2026 selepas tuan rumah asal, Victoria mengambil keputusan menarik diri dengan mendakwa peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal kepada A$6.9 bilion.

Malaysia sebelum ini menolak tawaran CGF dengan menyatakan keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet selepas meneliti semua aspek penganjuran acara itu dan implikasinya. – BERNAMA

Berita Harian X