Rabu, 3 April 2024 | 4:28pm
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah (kanan) beramah mesra bersama media pada majlis berbuka puasa di Johor Bahru semalam. – Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah (kanan) beramah mesra bersama media pada majlis berbuka puasa di Johor Bahru semalam. – Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Johor pertaruh ramai muka baharu bagi SUKMA Sarawak

JOHOR BAHRU: Kontinjen Johor akan mempertaruhkan 80 peratus muka baharu bagi memburu pingat pada temasya Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) di Sarawak Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, atlet SUKMA kali ini merangkumi usia antara 16 hingga 21 tahun dengan misi untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan yang diraih pada temasya dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Katanya, kontinjen Johor akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan itu, bagaimanapun sedar untuk mengulangi kejayaan lalu (77 emas) agak sukar kerana atlet sebelum ini sudah melebihi had umur.

"Apa yang kami sasar ke arah tiga kelompok teratas dalam pungutan pingat memandangkan cabaran utama pastinya pasukan tuan rumah Sarawak dan Selangor yang dilihat mampu memberi cabaran kepada kami.

"Apapun, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meletak sasaran 60 hingga 70 pingat emas untuk kami raih, walaupun ia tampak begitu mencabar tetapi kami akan berusaha.

"Justeru untuk memberi saingan dalam SUKMA nanti, kontinjen Johor akan diperkuatkan lebih 500 atlet dan pegawai tetapi jumlah sebenar akan diputuskan oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ)."

Beliau berkata, bagi memastikan sasaran dicapai, insentif RM10,000 akan diberikan kepada pemenang pingat emas dan ia juga memberi perangsang buat semua atlet untuk hanya memburu pingat emas berbanding pingat perak mahupun gangsa.

"Untuk menambahkan lagi jati diri bagi setiap atlet mengharungi temasya SUKMA ke-21 nanti, satu kem fasa akhir akan diadakan di Nusa Duta, Iskandar Puteri pada Jun depan dengan mengumpulkan semua atlet, memberi motivasi dan meningkatkan lagi moral mereka sebelum ke Sarawak," kata Mohd Hairi.

Berita Harian X