Selasa, 2 April 2024 | 10:19pm
Pemenang gangsa kejohanan dunia, Mohamad Aniq Kasdan memastikan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Phuket, Thailand hari ini.
Pemenang gangsa kejohanan dunia, Mohamad Aniq Kasdan memastikan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Phuket, Thailand hari ini.

Aniq sah layak ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan sah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas kejohanan kelayakan terakhir melabuhkan tirai di Phuket, Thailand hari ini.

Perkara itu disahkan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat dengan Aniq menamatkan kempen kelayakan dalam senarai 12 atlet yang melayakkan diri dalam kategori 61 kilogram.

Aniq, 21, berada di kedudukan kelapan dengan jumlah angkatan keseluruhan 296kg yang dilakukannya pada sesi kelayakan di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Begitupun, Aniq tidak dapat menyamai angkatan sama yang juga rekod kebangsaan pada kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket apabila hanya melakukan 290kg bagi angkatan keseluruhan manakala atlet dari China Li Fabin, meraih emas dengan 312kg.

Perak dimenangi atlet Korea Selatan, Park Myongjin dengan angkatan keseluruhan 301kg manakala gangsa diraih atlet Filipina, Ceniza John dengan 300kg.

"Memang kami lihat sebelum ke Phuket, kedudukan Aniq tidak akan terjejas. Di sana, kami cuma meletakkan sasaran untuk meningkatkan ranking dan jumlah angkatan. Kami bersyukur Aniq sudah layak ke Paris," kata Ayub.

Untuk rekod, kali terakhir angkat berat berada dalam kontinjen negara ke temasya terbesar dunia itu adalah di Olimpik Rio 2016 dalam kategori 69kg menerusi Mohd Hafifi Mansor.

Berita Harian X