Selasa, 2 April 2024 | 5:26pm
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika menghadiri sidang Dewan Negara di Parlimen hari ini. – Foto BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika menghadiri sidang Dewan Negara di Parlimen hari ini. – Foto BERNAMA

KBS komited bina fasiliti SUKMA 2028

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited untuk memastikan pembinaan fasiliti sukan sempena penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 di Kelantan siap mengikut jadual.

Menterinya Hannah Yeoh berkata status pembinaan fasiliti sukan untuk temasya berkenaan sentiasa dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selain mesyuarat tapak diadakan setiap bulan bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual siap sepenuhnya pada Mac 2026.

"Hasil pemantauan juga akan dibawa pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan KBS pada setiap bulan mengikut jadual," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang ingin tahu mengenai status persediaan Kelantan sebagai tuan rumah SUKMA 2028 serta pemantauan pembinaan fasiliti sukan supaya isu penangguhan tidak berlaku lagi.

Media sebelum ini melaporkan Sarawak secara rasmi dipilih sebagai tuan rumah SUKMA 2024 manakala Majlis Sukan Negara (MSN) akan menganjurkan temasya itu pada 2026.

Kelantan pula bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah edisi 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang.

Selain itu, Hannah berkata status terkini Stadium, Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Putih, Kelantan yang menelan belanja RM180 juta masih belum tersedia berikutan kerja letupan batuan.

Beliau berkata kerajaan Kelantan dijangka mendapat pemilikan tapak itu pada 13 April ini.

"Bagi pembinaan Arena Tertutup Kompleks Sukan Bukit Merbau, Stadium Hoki Bukit Merbau dan lapang sasar menembak masih dalam proses perolehan di peringkat JKR.

"Pembinaan pusat skuasy, boling padang berbumbung dan pusat akuatik pula masih dalam peringkat perancangan dan akan dilaksanakan oleh JKR," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X